Ganti kerajaan demi kedaulatan undang-undang, kata peguam


Looi Sue-Chern

Syahredzan Johan (kiri sekali) bersama ahli panel dalam forum “Apa Anak Muda Mahu untuk Malaysia Baharu” di Pulau Pinang, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 5 September, 2017.

MALAYSIA baharu patut menjadi negara yang menegakkan kedaulatan undang-undang, kuasa tertinggi dalam negara, bukannya diperintah oleh undang-undang, kata peguam Syahredzan Johan.

“Diperintah oleh undang-undang bermaksud menggunakan undang-undang untuk kekal berkuasa. Ini yang berlaku di Malaysia sekarang,” kata peguam hak asasi manusia itu pada forum “Apa Anak Muda Mahu untuk Malaysia Baharu” di Pulau Pinang, malam tadi.

Beliau berkata kerajaan perlu digantikan bagi membolehkan kedaulatan undang-undang ditegakkan di Malaysia kerana pentadbiran pada masa ini tidak mempunyai kemahuan kuat berbuat demikian.

“Bagi saya, Malaysia baharu perlu mempunyai kerajaan yang melindungi kedaulatan undang-undang.

“Ahli politik akan buat pelbagai janji tetapi rakyat perlu memastikan kerajaan baharu terus komited pada agenda perubahan.

“Tetapi realitinya ialah kita perlu ubah kerajaan sedia ada, yang tidak ada kemahuan politik untuk berubah, jika kita hendak ada peluang bercakap mengenai perkara ini,” katanya.

Syahredzan memetik bagaimana Akta Hasutan digunakan untuk menafikan hak kebebasan bersuara rakyat dan menangani pendapat yang berbeza.

Moderator forum itu, aktivis Adam Adli Abdul Halim berkata beliau didakwa menghasut kerana kerajaan tidak suka beliau mengajak rakyat turun ke jalanan untuk menukar kerajaan pada ulang tahun 13 Mei pada 2013, tidak lama selepas Barisan Nasional memenangi pilihan raya pada 5 Mei.

Syahredzan berkata anak guamnya Fahmi Reza, seorang artis grafik turut didakwa atas kesalahan menghasut kerana melukis gambar Perdana Menteri Najib Razak seperti badut, tahun lalu.

Katanya, Akta Media Cetak dan Penerbitan digunakan untuk menggantung lesen penerbitan seperti dua akhbar oleh The Edge Media Group kerana membuat laporan mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd pada 2015.

Malah, katanya perlembagaan turut tercemar dengan pelantikan semula Ketua Hakim Negara Raus Sharif, baru-baru ini untuk tempoh tiga tahun lagi selepas mencapai umur bersara wajib 66 tahun enam bulan.

“Institusi juga dipergunakan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya. Contohnya, persempadanan semula yang tidak masuk akal. Ia hanya salah guna kuasa untuk memastikan kerajaan tidak diubah,” katanya pada forum anjuran gerakan Malaysia Baru itu.

Syahredzan berkata undang-undang yang dibuat di Malaysia juga bermasalah dan proses itu perlu diubah.

Katanya, rang undang-undang (RUU) untuk menggubal undang-undang baharu atau meminda undang-undang sedia ada hanya dibahaskan beberapa jam saja di Dewan Rakyat, tanpa memberikan ahli Parlimen peluang mencukupi mengkaji RUU itu dan isi kandungannya.

“Dalam masa kurang seminggu, undang-undang boleh diluluskan. Lihat saja Akta Majlis Keselamatan Negara, ‘Akta Hasutan 2.0’ yang diluluskan pada 2015 tetapi masih belum dilaksanakan. Perbahasan terhadap RUU itu hanya beberapa jam saja.

“Ia masalah besar. Dari mula, ahli Parlimen terima RUU itu sudah lewat dan tidak ada masa mengkaji dan membuat penyelidikan. Malah, mereka tidak ada masa untuk membaca kenapa perlunya RUU seperti itu.

“Masa perbahasan juga singkat. Ahli Parlimen menjerit dan bergaduh dalam Dewan. Jadi mereka tidak ada masa untuk mentakrifkan dan membaiki undang-undang itu, atau mendapatkan khidmat nasihat pihak berkepentingan.

“Itu sebabnya kita tersekat dengan undang-undang bermasalah,” katanya.

Syahredzan berkata proses menggubal undang-undang tidak boleh mengambil jalan singkat, memetik bagaimana United Kingdom perlu memilih jawatankuasa untuk meneliti RUU sebelum ia diluluskan.

Katanya, undang-undang tidak memperuntukkan penyelesaian bagi semua situasi tetapi mentaliti kebanyakan rakyat Malaysia ialah menggunakan undang-undang untuk menangani masalah.

“Contohnya, apabila menangani ketegangan kaum, kita tidak boleh terus guna undang-undang. Kita perlu cari punca kenapa ketegangan itu berlaku. Kita cuba selesaikan dulu.

“Kita guna undang-undang bila situasi sudah ke tahap ekstrem. Undang-undang boleh digunakan tetapi ia sepatutnya melalui proses yang tepat dan dirujuk dengan mentaliti yang betul.”

Syahredzan pada forum itu berulang kali menekankan pentadbiran pada masa ini perlu diubah, dan menyatakan beliau bukan pro Pakatan Harapan.

Memetik aktivis sosial Hishamuddin Rais, beliau berkata misinya ialah untuk menyingkirkan Umno dan BN.

“Sama seperti Game of Thrones (siri televisyen). Musuh kita ialah ‘white walkers’. Kita perlu kumpul kemampuan kita dengan sesiapa pun, walaupun PAS dengan tujuan untuk menewaskan ‘white walkers’.

“Saya tidak kata semuanya akan okay sebaik saja kerajaan berubah..tetapi sekurang-kurangnya akan ada perubahan yang bermula dari situ. Kita cuba dari situ, dan buat apa yang kita mampu,” katanya.

Ahli panel lain pada forum itu ialah Exco Kesihatan Pulau Pinang Dr Afif Bahardin, Ahli Parlimen Batu kawan P. Kasthuriraani, Sara Ayuni Hamdan dari Pusat Impian Kita dan pengurus besar Majlis Hijau Pulau Pinang Thing Siew Shuen.

Forum itu dihadiri kira-kira 50 orang, dan turut menarik tontonan 2,200 orang menerusi Facebook Malaysia Baru. – 5 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen