Perlu majoriti dua pertiga untuk pinda Perlembagaan Persekutuan


Asila Jalil Diyana Ibrahim

Perdana Menteri Najib Razak menjawab soalan yang dibangkitkan oleh wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung Klausa 88A dalam akta tersebut.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 4 September, 2017.

MAJORITI dua pertiga diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi meluluskan semula Akta Membaharui Undang- Undang (Perkahwinan dan Penceraian) dengan larangan penukaran agama anak sebelah pihak, kata Perdana Menteri Najib Razak.

“Kita perlukan kematangan untuk ubah Perlembagaan dan kita perlukan dua pertiga majoriti. Tapi itu saya tidak ada,” katanya semasa menghadiri dialog terbuka Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan yang dibangkitkan oleh wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung Klausa 88A dalam akta tersebut.

Terdahulu Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) berkata isu klausa 88A dalam Akta 164 yang memperuntukan agama anak dikekalkan sekiranya ibu bapa memeluk agama lain perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Pada 7 Ogos kerajaan menarik balik LRA, yang dijadualkan untuk bacaan kedua selepas dibentangkan untuk kali pertama pada November tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman dilaporkan menarik balik usul itu bagi mengelakkan percanggahan dalam perlembagaan.

Pada hari yang sama ia ditarik balik, Azalina berkata dalam satu kenyataan usul baru akan dibentangkan tanpa Klausa 88A.

Azlina berkata pindaan baru juga akan selaras dengan keputusan mahkamah ke atas interpretasi Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan status agama seseorang individu di bawah umur 18 tahun ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaga.

Usul itu diluluskan pada 10 Ogos tanpa Klausa 88A yang mencetuskan kritikan dalam kalangan pemimpin pembangkang.

Azalina berkata pindaan itu adalah bagi memberi ruang kepada pasangan yang menukar agama kepada Islam selepas berkahwin dan pasangan yang salah seorangnya memeluk agama Islam, untuk fail perceraian di mahkamah sivil.

Tambahnya, pindaan itu tidak menafikan hak seseorang individu di mahkamah syariah tetapi menggalakkan individu itu untuk menjadi lebih bertanggungjawab dengan menceraikan pasangan di mahkamah sivil.  – 4 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kami bukan bodoh senang ditipu.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan