Banyak jualan murah bukti GST boleh kurangkan harga barang


Ulasan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ahmad Maslan mengenai GST yang menurutnya mampu mengurangkan harga barangan. – Gambar Twitter, 4 September, 2017.

BANYAKNYA jualan murah diadakan pusat membeli-belah dalam satu tahun bukti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) boleh mengurangkan harga barang, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ahmad Maslan.

“Kenapa ada jualan murah? Banyak bulan dlm setahun.

“Itu 1 bukti #GST boleh mengurangkan harga barang,” kata Ahmad menerusi akaun Twitter @ahmadmaslan hari ini.

Ahmad mengulas laporan sebuah portal tentang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan jualan murah empat kali setahun.

“Jika sale 30% tolak GST 6% maka untung 24%,” tulis Ahmad lagi menguatkan hujahnya.

Ahmad pada 2015 menimbulkan kontroversi apabila mengatakan pelaksanaan GST boleh menurunkan harga barang seperti kereta, perabot dan juga barangan elektrik.

Ahmad berhujah, harga bagi sesetengah barangan mampu diturunkan kerana sebelum ini ia dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berjumlah 10%, tetapi hanya dikenakan GST sebanyak 6%.

Selain itu, katanya barangan yang dalam stok pada 1 April 2015 yang dikenakan SST pada kadar 5% dan 10% boleh dibuat tuntutan melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam masa enam bulan serta dibayar secara berperingkat.

Ahmad berkata, pembekal dan peniaga juga boleh memilih untuk menurunkan harga barangan jualan mereka kerana mereka boleh menuntut cukai input sebanyak 6%.

Kenyataan itu menyebabkan Ahmad dikritik pengguna media sosial kerana realitinya, sejak GST diperkenalkan, kos kehidupan meningkat naik. – 4 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kah kah kah betul tu Menteri Nasi Goreng kah kah kah

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan