-2.jpg)
LIMA prinsip Rukun Negara dibaca pada perarakan perdana di Dataran Merdeka dalam sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan negara pada 31 Ogos 2017 adalah sesuatu yang terpuji. Namun malangnya, sekali lagi, hanya separuh daripada ideologi nasional itu yang diberikan penekanan.
Ini kerana lima prinsip itu — Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang; dan Kesopanan dan Kesusilaan — adalah garis panduan untuk mencapai lima aspirasi atau cita-cita negara.
Rukun Negara menyebutnya dengan tersurat. Ia menyatakan: “Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut.”
Apakah cita-cita itu? Perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat; cara hidup demokratik; masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama; menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai corak; dan membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
Kenapakah cita-cita negara ini jarang disebut? Kenapakah aspirasi negara ini selalu diketepikan? Tidakkah aneh apabila kita melaung-laungkan lima prinsip itu tetapi lima cita-cita yang seharusnya didukung oleh prinsip-prinsip tersebut disembunyikan daripada umum?
Ini sudah berlarutan selama lebih 30 tahun, secara sistematik dan konsisten. Baik pada buku latihan sekolah atau di media atau dalam majlis awam, fokusnya pada prinsip Rukun Negara manakala aspirasinya diabaikan sama sekali.
Apa alasan percubaan sengaja menyembunyikan cita-cita negara yang terkandung dalam Rukun Negara? Apatah lagi ketika Rukun Negara pertama kali diumumkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang keempat pada 31 Ogos 1970, aspirasi dan prinsipnya diutarakan secara berturut. Dan pada dekad 1970-an, cita-cita negara itu menonjol diwacanakan secara terbuka.
Bimbang
Barangkali ada tiga alasan munasabah kenapa aspirasi Rukun Negara ini diabaikan. Sekiranya rakyat sedar akan cita-cita negara melalui peringatan dari masa ke masa oleh mereka yang memegang kuasa dan pengaruh ada kemungkinan mereka akan lebih bijak menilai pemimpin kerajaan dan dasar-dasarnya.
Mereka akan bertanya apakah kita benar-benar membentuk sebuah budaya demokrasi atau apakah kekayaan negara diagihkan dengan saksama pada hari ini berbanding sebelumnya, atau apakah kita semakin progresif ketika kita menerima teknologi-teknologi baru?
Warga yang peka dengan pandangan yang kritikal adalah sesuatu yang akan membuat kerajaan kurang selesa. Dalam bahasa mudahnya, pengundi yang berfikir adalah jelatang bagi mereka yang mahu berpaut pada kekuasaan dan mereka yang berkuasa dengan apa cara sekali pun.
Sekiranya kebimbangan pada penilaian rakyat yang kritikal jadi alasan untuk menyorok cita-cita negara, kelompok elit kita sebenarnya takutkan yang bukan-bukan. Dalam banyak masyarakat, cita-cita yang diabadikan sebagai ideologi atau piagam negara tidak setara dengan realiti di bawah.
Malah, kalau kita semak apa yang sudah dicapai berhubung lima cita-cita bangsa dalam masa 47 tahun yang lalu, campur tolaknya akan menunjukkan kepada kita satu penyata kira-kira yang sebenarnya lebih baik daripada yang dicapai oleh banyak masyarakat lain.
Inilah sebabnya kenapa kita harus menggalakkan rakyat untuk merenung aspirasi negara untuk melihat sejauh mana kita sudah mencapai apa yang dinyatakan dalam Rukun Negara.
Liberalisme
Ada satu lagi barangkali alasan kenapa ada keengganan untuk menonjolkan cita-cita Rukun Negara. Dalam tempoh lebih kurang 10 tahun ini, sesetengah elemen dalam kekuasaan menunjukkan sikap tidak suka kepada istilah “liberal” yang merupakan bahagian utama dalam cita-cita Rukun Negara yang keempat.
“Liberal” atau “liberalisme” bagi mereka ini membawa makna kebebasan mutlak, tanpa sekatan. Mereka mungkin tidak sedar yang sesetengah penganjur utama pemikiran liberal mengakui keterbatasan kebebasan. Mereka malah menyedari sekatan ke atas kebebasan mustahak untuk menyuburkan kebebasan dalam masyarakat.
Ada juga dalam kalangan rakyat Malaysia yang menyamakan ‘liberal’ dengan perjuangan hak LGBT. Ini juga satu salah faham. Ada banyak orang yang liberal yang idea-ideanya tentang peranan gender, hubungan seksual dan perkahwinan tidak memungkinkan mereka menerima perjuangan LGBT.
Biar apapun, dalam Rukun Negara, perkataan “cara liberal” digunakan khusus untuk menggambarkan pandangan tertentu tentang kebudayaan pelbagai yang ada di negara ini. “Terbuka”, “inklusif” atau “akomodatif” adalah antara istilah yang sejajar dengan apa yang didukung oleh Rukun Negara.
Pendekatan liberal terhadap kepelbagaian budaya di Malaysia seperti yang ditunjukkan daripada sikap rakyat dan penguasalah yang menjadi antara kekuatan kita. Inilah sebabnya kenapa kita bersatu dalam sebuah negara sejak beberapa dekad lalu.
Landasan lain
Barangkali ada satu lagi alasan kenapa ada pihak yang menentang usaha menekankan cita-cita bangsa melalui Rukun Negara. Bagi kumpulan atau individu ini, aspirasi Rukun Negara menghalang agenda mereka untuk menghalakan negara ini landasan yang lain.
Mereka ini melihat cita-cita seperti cara hidup yang demokratik atau sebuah masyarakat yang progresif sebagai “sekular” dan oleh sebab itu, bertentangan dengan agenda mereka untuk menegakkan sebuah negara Islam yang dipandu oleh syariah seperti yang ditafsirkan oleh segelintir ulama.
Beberapa keputusan mahkamah dan episod dalam masa beberapa tahun lalu mendedahkan kepada kita usaha membentuk sebuah negara dan masyarakat yang pada dasarnya berlainan dengan apa yang dibayangkan oleh Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.
Ironinya, sesetengah mereka yang memperjuangkan negara baru ini berharap akan dapat mencapai maksud mereka melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperakui Islam sebagai agama Persekutuan.
Ini adalah contoh bagaimana Perlembagaan digunakan untuk meremehkan Perlembagaan itu sendiri. Itulah sebabnya usaha menonjolkan cita-cita Rukun Negara yang dari satu sudut mengandungi semangat Perlembagaan adalah sangat mustahak pada masa ini, kerana ia menetapkan negara ini pada jalan yang sudah ditentukan pada 1975 — jalan yang kemudian diperkukuhkan pada 1970.
Inilah yang alasan paling utama untuk mengetengahkan semula Rukunegara secara keseluruhan, merangkumi cita-cita dan prinsipnya.
Sekiranya kita gagal mengangkat Rukun Negara, aspirasi dan prinsipnya, kita akan mengecewakan tokoh yang merintisnya, yang melihatnya sebagai asas untuk membina negara, selepas tragedi rusuhan.
Malah, hanya dengan memelihara Rukun Negara secara keseluruhan saja — dengan berusaha mencapai cita-citanya dan berpegang pada prinsipnya — kita akan memberi hormat pada salah satu legasi agung Tun Abdul Razak. – 4 September, 2017.
* Dr Chandra Muzaffar ialah pengerusi Lembaga Amanah Yayasan 1Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen