Dilema setinggan, dapat rumah baru tapi hilang tanah luas


Nabihah Hamid

Penduduk Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Kerinchi terpaksa belajar menyesuaikan diri untuk hidup dalam kawasan yang terhad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 September, 2017.

DI tengah-tengah kota, sebuah penempatan bertingkat berwarna-warni di antara Lebuh Raya Pantai (NPE) dan Sungai Klang, dihuni segenap lapisan manusia. Rata-rata mereka adalah penduduk setinggan di Lembah Klang puluhan tahun dulu.

Lebih sedekad meninggalkan kediaman setinggan, minat bercucuk tanam tidak terhakis. Boleh dilihat di setiap sudut dan ruang di antara blok 94 dan 96, Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau dipenuhi tanaman.

Malah, ada juga beberapa kawasan dijadikan kebun dan rumah burung merpati.

Namun, bagi penduduk segala masih terbatas kerana ruang terhad selain kawasan tidak sesuai kerana kurangnya pancaran cahaya matahari.


Rosliza Darus mengakui perpindahan ke Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Kerinchi, Kuala Lumpur turut menyebabkan kenaikan kos hidup kerana semuanya perlu dibeli berbanding ketika tinggal di kawasan setinggan yang membolehkannya bercucuk tanam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 September, 2017.

Keadaan itu dihadapi Rosliza Darus, 52, yang kini tidak lagi begitu aktif sebagaimana 30 tahun dahulu. Dahulu, terdapat pokok cili api tumbuh subur di laman rumah, kini pemandangan di luar rumah hanyalah pasu-pasu bunga yang kering.

“Makcik dulu pernah tanam cili depan rumah ini, tetapi mati sebab sini tak kena cahaya matahari. Sekarang tanam pokok limau dan letak dalam bilik yang kena cahaya matahari. Di setinggan dulu, segala macam sayur kami tanam.

“Di bawah kami ada buat kebun tetapi sekarang makcik sudah tak larat nak kerjakan sebab kena turun naik. Mujur, ada abang ipar jaga.

Dulu petik sayur, sekarang kena beli

Rosliza, ibu anak tiga berasal dari Kampung Limau berpindah di blok 96 pada 2006. Suri rumah itu akui banyak perubahan hidup yang dihadapi terutamanya dari segi kos sara hidup.

Semangat kejiranan juga semakin terhakis kerana masing-masing sibuk bekerja.

“Kos hidup di bandar memang tinggi. Dulu sayur, cili kita petik depan rumah. Sekarang kita ke pasar borong beli seminggu sekali.

“Tetapi kalau cili masak habis nak masak beli di kedai runcit, seringgit dapatlah dua batang,” katanya yang turut menjaga dua cucunya di rumah.

“Bila duduk di sini, bagusnya dah tak hadapi masalah banjir. Cuma sekarang, kita tidak berbual sangat dengan jiran macam dulu. Semuanya balik kerja tutup pintu. Buat kerja masing-masing.

Dua kanak-kanak lelaki asyik bermain di Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Kerinchi, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 September, 2017.

Ruang sempit bataskan aktiviti

Sementara itu, adiknya Asman Darus, 40, berkata persekitaran amat berbeza berbanding dahulu yang lebih mesra alam.

“Kalau dulu waktu saya kecil, kami lebih kreatif membuat mainan daripada bahan semula jadi. Kami bina pondok kecil. Anak-anak sekarang, semua barang mainan dibeli.

“Dulu di Sungai Klang ini tempat kami bermain, bersih airnya. Sekarang ini tengoklah betapa kotornya.

“Saya dulu lihat orang tua bertanam jagung dan kami budak-budak kecil membantu. Hasilnya kita makan bersama,” katanya tukang rumah sambilan itu.

Bagi bapa anak lima ini, kawasan persekitaran yang terhad di PPR membataskan kreativiti anak-anak untuk membesar.

Pemerhatian The Malaysian Insight mendapati tempat permainan di kawasan sekitar rosak akibat gejala vendalism selain tiada padang yang bersesuaian.

Kelihatan beberapa kanak-kanak kecil bermain dan berlari-lari di bawah blok dan ditangga tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.

Difahamkan hampir 90 keluarga daripada Kampung Limau menghuni Blok 56. Ada sebahagian mereka dari setinggan Kampung Kerinchi.

Sahudin Aripin banyak menghabiskan masa berkebun dan memelihara merpati.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 September, 2017.

Habiskan sisa hidup dengan tanaman

Sahudin Aripin, 64, suka meluangkan masa dengan mengerjakan kebun dan memelihara burung merpati di atas tanah sekangkang kera.

Di atas bahu jalan, di sisi bangunan. Jelas kelihatan pasu-pasu anak pokok dan sebuah reban kecil menempatkan hampir 10 ekor merpati.

“Suka-suka tiada kerja. Ini macam senaman pakciklah. Kita dah bersara lama. Dulu setinggan macam-macam ada.

“Bila kita duduk di Flat walaupun dah berbelas tahun, tapi pakcik masih suka bercucuk tanam, bela burung. Mujur dekat sini DBKL beri, asalkan bersih dan pandai jaga tiada masalah,” kata bapa enam anak itu.

Begitu juga dengan Rahmah Tit Eton, 74, seakan tidak tenang jika tiada pemandangan hijau di kawasan rumahnya. Semuanya kerana sudah terbiasa, dalam usia sebegitu masih bersemangat menanam.

“Sudah berbelas tahun di sini, makcik suka tengok tanaman hijau. Makcik ada tanam daun kesum dan serai untuk senang buat bahan masak.

“Kalau serai, beli di kedai runcit seringgit dapat dua batang, mahal,” kata ibu anak lima itu.

Bagi mereka, kehijauan di kediaman amat penting. Bagi mereka pengalaman dapat memberikan ketenangan selepas bergelut mencari rezeki untuk terus hidup di bandar. – 3 September, 2017.

Usia tidak menghalang Rahmah Tit Eton untuk bercucuk tanam walaupun kawasannya terhad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen