Ketua hakim serah afidavit balas kes saman anak Karpal Singh


Peguam Sangeet Kaur Deo memfailkan saman terhadap Richard bulan lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2019

PEGUAM Persekutuan hari ini memfailkan afidavit balasan terhadap saman pemula anak perempuan mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo terhadap Ketua Hakim, Richard Malanjum berkaitan dakwaan campur tangan badan kehakiman.

Anak perempuan mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo memfailkan saman terhadap Richard bulan lalu.

Sangeet mendakwa Richard gagal menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia atas dakwaan campur tangan kehakiman dalam keputusan kes Akta Hasutan melibatkan Karpal Singh serta kes penukaran agama tiga kanak-kanak beragama Hindu.

Sangeet mengesahkan dia menerima dokumen mahkamah pada hari ini dan diarahkan untuk memfailkan balasan semula pada 25 Februari ini.

Richard tidak dinamakan secara peribadi dalam saman Sangeet yang merujuk kepada ketua prosiding.

Bulan lalu, Sangeet memberitahu The Malaysia Insight yang badan kehakiman menggantung siasatannya kerana polis melancarkan siasatan selain masih menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung kes Karpal.

Sangeet mendakwa isu itu timbul apabila peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan rayuan dalam kes Akta Hasutan mendiang Karpal diubah akibat campur tangan kehakiman oleh seorang hakim kanan.

Karpal meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 17 April 2014.

Dia didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut terhadap Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah dengan menyatakan penyingkiran Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak dan pelantikan Zambry Abdul Kadir di tempatnya boleh dipersoalkan di mahkamah.

Pada 21 Februari 2014, Mahkamah Tinggi mendapati Karpal bersalah. – 11 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen