Selepas 60 tahun, kenapa masih ada warga tercicir?


Melati A. Jalil

Nor Ajemah Ismail bersama suami, Abu Hassan Ismail ketika ditemui di kediamannya di Bandar Tasik Selatan. Beliau melahirkan kekesalan ada rakyat Malaysia yang masih tidak dapat menikmati perkara asas walaupun negara merdeka sejak 60 tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 2 September 2017.

Citra sebuah negara dilihat pada cerita-cerita rakyatnya. The Malaysian Insight bertemu dengan warga yang lahir pada 1957 dan sebaya dengan usia Malaya merdeka. Mereka berkongsi cerita untuk kita melihat apa maknanya jadi warga Malaysia.

Kisah Nor Ajemah adalah cerita tentang perubahan landskap Malaysia, tentang orang yang berpindah dari pinggir luar bandar ke pekan baru untuk menikmati pembangunan tetapi kemudiannya menyedari betapa pembangunan itu tidak sama rata untuk semua orang.

Dia masih ingat lagi bagaimana keadaan hidup sebelum hijrahnya itu: seorang anak kecil dari sebuah kampung di Kuala Selangor yang teruja datang ke Kuala Lumpur untuk ikut sama menyambut ulang tahun merdeka pada 1967.

“Umur saya 10 tahun masa itu. Tempat itu penuh sesak,” katanya, mengenang perarakan Merdeka di sepanjang Jalan Kuching.

“Saya tidak ingat betul siapa pemimpin yang ada, tetapi saya ingat aksi lagak ngeri motosikal. Untuk budak kampung macam saya, ini pengalaman baru,” katanya.

Menurut laporan yang tersimpan di arkib, lebih kurang 50,000 menghadiri sambutan itu, berdiri di tepi jalan menyaksikan perarakan yang melibatkan 4,000 anggota polis, tentera dan sukarelawan.

Bagi Ajemah, pengalaman itu cukup asing kalau dibandingkan dengan kehidupanya di Bukit Belimbing, Kuala Selangor, sebuah daerah perkampungan nelayan di tebing Sungai Selangor.

Ayahnya nelayan dan seperti orang lain di kampung, hidup bergantung pada cuaca untuk membawa balik sedikit makanan.

“Ayah pakai bot kecil. Kalau musim hujan, dia tak dapat bekerja. Ikan yang ditangkapnya bukan untuk dijual, untuk kami anak beranak makan. Ayah hanya jual kerang di kampung.

“Sebab tak mampu beli peti sejuk, semua ikan itu sama ada diasin atau dijemur kering, boleh simpan lama.

“Tetapi ada hari-harinya kami hanya makan ubi kayu yang kami tanam sendiri sebab ayah tak boleh pergi menangkap ikan,” katanya.

Ajemah turut mengenang zaman keluarganya masih menimba air dari telaga.

“Tak ada air paip di kampung kami. Kerajaan hanya sediakan paip setiap beberapa kilometer untuk air minum. Air telaga kami guna untuk basuh baju dan mandi,” kata pesara itu.

Dia ingat lagi bagaimana waktu hendak mengambil air pada suatu petang, dia terjatuh ke dalam telaga.

“Saya jatuh dengan timba. Saya berpaut pada timba dan jerit minta tolong. Masa orang datang selamat, saya dah pengsan.

“Saya tidak lupa apa yang jadi kerana saya hampir mati. Macam itulah susahnya hendak dapat air dulu,” katanya.

Berpindah untuk sekolah

“Tidak ada sekolah menengah di kampung. Kalau saya nak sambung sekolah menengah, saya kena ambil bas atau naik basikal empat kilometer ke Kuala Selangor dan ambil feri kecil untuk ke sekolah yang letaknya di seberang sungai.

“Makcik ada ajak duduk dengan dia di Petaling Jaya. Mak tak kisah sebabnya kalau tidak kami kena beli basikal. Mana nak mampu masa itu,” kata anak ketiga daripada 14 beradik itu.

Begitu Ajemah melangkah turun pada umurnya 13 tahun pada 1970, dia tidak berpatah balik.

Dia menghabiskan zaman remajanya di Petaling Jaya, tinggal di rumah ibu saudaranya yang kemudian jadi tapak untuk lebih ramai lagi saudara mara duduk menumpangkan anak bersekolah menengah. Petaling Jaya pada masa itu sebuah bandar satelit yang mula dibuka pada 1952 untuk menampung penduduk yang melimpah dari Kuala Lumpur.

“Rumah makcik tak besar, cuma tiga bilik,” katanya, merujuk pada sebuah rumah di Jalan 229, Petaling Jaya tempat sepupu-sepupunya dan saudara mara lain menumpang. Makcik dan pakcik Ajemah ketika itu cikgu sekolah.

Dia masuk dua sekolah aliran Bahasa Inggeris di Petaling Jaya sebelum pindah ke sekolah Melayu di Kampung Baru.

Ajemah menambah dia masuk sekolah swasta selepas Tingkatan Tiga sebab terpaksa mengulang Sijil Pelajaran Rendah (LCE) kalau mahu menyambung bersekolah.

“Kelas swasta masa itu tidaklah mahal. Lagi pun saya hendak ulang LCE sebab keputusan tak berapa baik. Saya pakai duit sendiri yang dapat masa kerja kilang, masa cuti sekolah,” katanya.

Selepas habis sekolah menengah, hasrat Ajemah hanya satu: mencari kerja untuk membantu keluarga di kampung.

“Saya tak pernah terfikir untuk sambung mengaji tinggi sebab saya ada adik-adik yang masih perlu bersekolah.

“Masa saya kecil pun tak pernah terfikir hendak jadi jurutera atau doktor. Kerjaya itu bukan untuk kami di kampung.

“Paling-paling pun kami boleh berharap nak jadi cikgu; kalau budak lelaki, jadi askar sebab kami biasa tengok mereka jaga kampung,” katanya.

Ajemah yang sekarang tinggal di rumah kos rendah di Bandar Tasik Selatan bersama suami, Abu Hassan Ismail berkata, dia mula bekerja sebagai kerani di sebuah kedai Cina di Jalan Ipoh sebelum kemudiannya masuk kerja kerajaan pada 1979.

“Saya mula dengan gaji RM200. Masa itu dah cukup banyak untuk saya,” katanya.

Ajemah menganggap dirinya berjaya “untuk anak seorang nelayan” kerana dia dapat keluar daripada kesusahan yang dilalui oleh keluarga.

“Saya cuma hendak semua orang di Malaysia ini dapat hidup selesa. Kita sudah maju tetapi kenapa ada orang yang tertinggal?

“Semua rakyat Malaysia sepatutnya menikmati benda-benda asas, macam air, makanan dan rumah yang termampu,” katanya. – 2 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen