Salam Merdeka 60, selamat datang tukang baiki negara!


Dalam menyambut ulang tahun ke-60 Merdeka, mudah untuk membandingkan kemajuan kita dengan negara jiran di selatan yang berpisah lebih setengah abad lalu, dan menangis. – Gambar EPA, 31 Ogos, 2017.

GENERASI Merdeka sebelum ini sibuk membangunkan negara yang baharu. Menurap jalan, mendirikan sekolah dan hospital. Menentang komunis. Membentangkan pelan pembangunan lima tahun. Menguruskan hubungan antara kaum.

Anak-anak mereka — generasi saya — sibuk pula mengejar kemakmuran.

Kami meningkat dewasa ketika pembangunan berkembang pesat pada era Mahathir. Pasaran saham rancak, pasaran hartanah lebih rancak lagi, dan sebuah padang lumba kuda ditutup untuk dibangunkan menara berkembar yang untuk suatu ketika yang singkat jadi bangunan tertinggi di dunia.

Banyak teman universiti saya terus terjun ke lapangan bekerja di syarikat broker saham, kewangan dan firma guaman korporat. (Selepas itu, krisis kewangan Asia meledak tetapi itu cerita yang lain pula.)

Dan generasi kini?

Mereka akan membetulkan kepincangan negara ini. Semua yang dikorbankan atas nama kemajuan, atau demi politik, atau hanya kerana kita tidak peduli. Hal seperti kesamarataan sosial, dan hak asasi manusia, kebebasan media dan sebuah kerajaan yang benar-benar mewakili rakyatnya.

Dalam menyambut ulang tahun ke-60 Merdeka, adalah mudah untuk membandingkan kemajuan kita dengan negara jiran di selatan yang berpisah lebih setengah abad lalu, dan menangis.

Pernah, kita cuba mengejar negara harimau Asia – Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan. Hari ini, kita bimbang tidak dapat terus mendahului negara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina – sambil kita bertenggek pada China yang sedang melonjak.

Tetapi tidak usah bersusah payah merenung untuk menemukan contoh kebijaksanaan, harapan dan pembaharuan. Ketika ramai dalam kalangan kita yang berdukacita mengenangkan keadaan negara, atau berhijrah, ramai juga tampil dan melakukan sesuatu yang menarik, dan ini berlaku dari peringkat akar umbi.

Ini sedikit sebanyak ada kaitannya dengan perubahan global yang lebih luas, dengan gendala dan kebebasan yang dibawa oleh Internet, runtuhnya kerjaya tradisional dan bangkitnya ekonomi yang mengupah pekerja sementara. Namun ada juga keinginan untuk melakukan sesuatu yang berbeza.

Kita lihat ada rakyat Malaysia yang menangguhkan kerjaya untuk mengajar di sekolah di pedalaman dan menawarkan tuisyen percuma kepada mereka yang memerlukan, melalui kumpulan seperti Teach for Malaysia dan Teach for the Needs.

Kita lihat ada rakyat Malaysia yang memulakan perniagaan, kecil dan besar yang menggantikan perniagaan tradisional. Masih ingat MyTeksi yang muncul beberapa tahun lalu? Ia sekarang dikenali sebagai Grab dan sudah mengembangkan perkhidmatan ke enam negara, memberikan saingan kepada Uber dan pada masa yang sama, memudahkan perjalanan kita.

Kita lihat ada rakyat Malaysia yang turun ke jalan untuk menyatakan pendirian atas isu yang sangat dekat di hati mereka. Lihatlah gelora kuning yang menyapu ibu negara setiap kali Bersih mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya adil.

Ini sesuatu yang tidak dapat dibayangkan pada 1980-an malah sampai ke akhir 1990-an, sebelum pemecatan seorang bekas timbalan perdana menteri yang memecahbelahkan negara.

Kita lihat anak-anak muda Malaysia menulis dan membaca semula.

Dunia penerbitan buku mandiri rancak menerbitkan ratusan judul kebanyakannya dalam Bahasa Melayu, dan ada juga dalam Bahasa Inggeris. Buku Fixi memperkenalkan puluhan penulis baru, menjejak mereka melalui media sosial, dan begitu juga pesaingnya Lejen Press (dengan slogan: “I am Lejen”). Karya baru ini kasar, dan tidak mesti selalu betul nahunya, dan tidak juga perlu indah, tetapi seperti yang disebut oleh sasterawan negara A. Samad Said: “Ia jujur.”

Kita lihat seni dan budaya bercambah, sekali lagi dari bawah ke atas, baik ada atau tiada bantuan dana. Festival seni tumbuh di George Town, di KL, di Iskandar, di Ipoh, malah di Butterworth. Ada sesetengah hujung minggu, kita jadi payah untuk memilih mahu mana satu pertunjukan atau tayangan atau forum umum yang sepatutnya kita hadir.

Acara bukan saja sedap di mata tetapi juga membuka minda dan mencetuskan perbincangan. Ia juga mengumpulkan masyarakat dari semua generasi.

Kita lihat ada rakyat Malaysia yang keluar dari zon selesa untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang paling memerlukan – menawarkan pendidikan dan sokongan kepada pelarian, memberi makan gelandangan.

Tahun lalu, tiga mahasiswa memulakan Projek Picha, satu perkhidmatan katering dengan makanan yang disediakan keluarga pelarian dari Myanmar, Syria, Afghanistan dan negara lain untuk – seperti yang mereka ungkapkan – menghidangkan makanan untuk diri sendiri ketika mereka menghidangkan makanan kepada orang lain.

Apabila seorang daripada pengasasnya berucap pada majlis graduasinya tahun lalu, dia menggunakan pentas itu untuk menyeru rakan-rakannya supaya menggunakan ijazah yang baru mereka peroleh untuk memelihara alam sekitar, menjaga serta menyatukan masyarakat.

Sudah barang tentu, untuk perubahan yang sebenar berlaku, ia harus digerakkan dari akar umbi sampai kepada kerajaan kerana di situlah terletaknya sumber yang sebenarnya.

Di situlah duit cukai kita terkumpul dan dari sanalah dana boleh disalurkan untuk manfaat terbanyak. Untuk itu berlaku, semua generasi harus berganding bahu.

Apakah sukar untuk membayangkan sebuah masa depan orang seperti Suzanne Ling dari Projek Picha boleh jadi Menteri Perusahaan Sosial? Atau Joe Sidek dari Festival George Town jadi Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan? Atau Anthony Tan dari Grab jadi Menteri Pengangkutan? Atau Amir Muhammad dari Buku Fixi jadi pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka?

Kenapa tidak? – 31 Ogos, 2017.

* Chen May Yee seorang wartawan Malaysia. Pamerannya bersama jurugambar SC Shekar berlangsung di Festival George Town sehingga 3 September ini. Beliau boleh dihubungi di [email protected]

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen