Walaupun Pakatan tolak sebarang kerjasama, PAS terus kekal dalam Selangor


Amin Iskandar

PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR Mei lalu, menimbulkan polemik pentadbiran di Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2017.

WALAUPUN Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan untuk memutuskan sebarang kerjasama, PAS tetap akan kekal dalam kerajaan Selangor, kata Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehin Mukhyi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabak itu berkata, ini adalah kerana PAS dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu bersama-sama PKR dan DAP untuk membentuk kerajaan Selangor.

“PAS akan terus kekal dalam kerajaan Selangor kerana ini adalah mandat rakyat semasa PRU13,” kata Sallehin kepada The Malaysian Insight.

Apabila diminta mengulas keputusan PH untuk menolak sebarang kerjasama dengan PAS, bekas exco kerajaan Selangor itu berkata:

“Pinggan tak retak, nasi tak dingin, PH tak nak, PAS pun tak hingin.”

PAS pada Mei memutuskan hubungan dengan PKR yang sudah terjalin semenjak 1999.

Bagaimanapun mereka tetap kekal dengan kerajaan Selangor yang dipimpin Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

PH pada Selasa membuat keputusan menolak sebarang kerjasama dengan PAS dan bersedia untuk pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketika ditemui selepas PH mengumumkan keputusan itu pada Selasa, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata keputusan itu termasuk di peringkat negeri.

“Kesemua empat parti ada dalam mesyuarat itu, kerajaan Selangor juga kena ikutlah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Apabila ditanya apakah kerajaan Selangor perlu memecat PAS daripada kepimpinan negeri, Salahuddin berkata perkara itu masih belum dibincangkan.

“Itu tak tahulah, masih belum diputuskan, keputusan kita hanya tentang bagaimana untuk berdepan dengan PRU14, kemungkinan berdepan dengan tiga penjuru,” kata bekas ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal itu.

“Jadi lepas ni orang tak boleh tanya lagi tentang rundingan dengan PAS, tidak ada lagi rundingan dengan PAS selepas ini oleh mana-mana parti PH.” – 30 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen