Pakatan mampu harungi pertandingan tiga penjuru lawan BN-PAS, kata Amanah


Pakatan Harapan kini perlu mengakui yang kerjasama politik dengan PAS tidak akan berlaku dan mereka perlu merangka strategi lain mendepani pertandingan tiga penjuru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2017.

AMANAH hari ini mengalu-alukan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk menghentikan semua perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam satu kenyataan hari ini, Naib Presiden Dr Mujahid Yusor Rawa mengatakan tindakan “melayan” karenah PAS hanya akan mengukuhkan persepsi yang PH lemah dan berpecah, tanggapan yang dimahukan Umno.

Katanya, PH mampu untuk berdepan dengan pertandingan tiga penjuuru menentang Barisan Nasional (BN) dan PAS.

“(Pertandingan) 3 penjuru menghantui kita tetapi kita juga ada ruang masa untuk  memberi penjelasan dan perkembangan baru dapat menampung kehilangan pengaruh PAS.

“(Pertandingan) 3 Penjuru adalah realiti yang mampu ditangani dengan ketegasan PH menolak perangai ‘flip-flop’ PAS dalam melawan Umno/BN,” katanya, menambah yang PAS sehingga kini terus menolak untuk bekerjasama dengan PD apabila bertindak menyerang Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dan parti komponennya, DAP dan Amanah.

“Ramai yang kecewa dengan PAS dan sesiapa sahaja yang bermazhabkan elak 3 penjuru kerana berhemoi (hidung tak mancung pipi tersorong-sorong) kepada parti yang mempermainkan kepentingan membuang kerajaan kleptokrasi BN,” katanya lagi.

Mujahid juga menyifatkan sikap PAS yang “pelik” terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan hubungan gelapnya dengan Umno telah memburukan imej PAS yang akan memberi kesan buruk kepada imej PH sekiranya “hubungan selektif” antara PAS dan PKR berterusan.

Kenyataan ahli Parlimen Parit Buntar itu dikeluarkan susulan keputusan PH awal pagi Khamis lalu yang memutuskan untuk tidak bekerjasama langsung dengan PAS pada PRU14 nanti.

Sebelum ini, PKR dikatakan masih terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan PAS bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru berlaku di Selangor. PAS memegang 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Baru-baru ini juga dilaporkan yang PAS berhasrat untuk bertanding di 42 daripada 56 kerusi negeri itu.

Mujahid berkata walaupun tiada siapa boleh menghalang PKR daripada mempunyai “hubungan selektif” dengan PAS, kerana parti Islam itu masih sebahagian daripada kerajaan Selangor, tetapi parti komponen PH masih berhak mempersoalkan sekiranya hubungan itu akan memberi kesan kepada pakatan pembangkang.

“Hubungan selektif PAS-PKR menimbulkan kebimbangan kepada parti komponen dan para pendokong PH. Ini memandangkan alasan Menteri Besar Selangor Azmin Ali ialah mahu mengelak pertembungan 3 penjuru.

“Amanah menerima isu keterlibatan PAS dalam kerajaan Selangor dengan dada terbuka tetapi ini bukan bermakna mazhab elak 3 penjuru mewajarkan tindakan ‘ambil kesempatan’ suasana ke atas survival  PH di mata pengundi seluruh negara.”

Mujahid yang merupakan bekas pemimpin PAS berkata perlu ada tindakan menghentikan “sikap makan keliling PAS” kerana rakyat sudah muak, walaupun ini bermaksud akan wujudnya pertandingan tiga penjuru.

Keputusan yang secara nyata menyingkirkan PAS daripada struktur PH akan membolehkan rakyat lebih mudah membuat keputusan mereka, katanya lagi.

“PAS juga terpaksa membuat keputusan secara tegas samada mahu masuk cara solo atau ada rundingan sulit dengan Umno. Itu masalah PAS yang akan dinilai oleh pengundi nanti.

“Pada waktu yang sama PKR perlu tangani tularan wujudnya ‘kartel’ dalam partinya dan tidak perlulah mengheret PH dalam persaingan dalamannya,” katanya.

Pemimpin PKR dikatakan terpecah kepada kelompok yang mahu terus bekerjasama dengan PAS dan kelompok yang mahu terus menyingkirkan parti Islam sejak ia memutuskan kerjasama politik dengan PKR Mei lalu. – 30 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen