BN dijangka kekal Cameron Highlands, kata Ilham Centre


BN dijangka menang di Cameron Highlands dengan dukungan undi Melayu dan Orang Asli sementara jumlah pengundi Cina dan India diramalkan akan merosot. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2019.

BARISAN Nasional (BN) dijangka mengekalkan penguasaan di kerusi Parlimen Cameron Highlands esok, kata badan penyelidik Ilham Centre.

BN dijangka menang dengan dukungan undi Melayu dan Orang Asli sementara jumlah pengundi Cina dan India diramalkan akan merosot, kata pengarah eksekutifnya, Azlan Zainal.

Kawasan pilihan raya itu dikuasai BN sejak diwujudkan pada 2004.

Badan kajian itu juga melihat Pakatan Harapan (PH) kuat di DUN Tanah Rata yang mempunyai peratusan pengundi India dan Cina yang tinggi.

“Tetapi dalam siri pilihan raya kecil selepas PRU14, peratusan keluar mengundi pengundi bukan Melayu agak rendah.

“Jika fenomena ini berterusan, peluang PH untuk menang semakin malap,” kata Azlan.

Ilham Centre juga melihat PH perlu membawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai “faktor wow” untuk menarik undi Melayu.

Peluang kemenangan itu bagaiamanapun hanya akan meningkat sedikit sahaja, kata badan itu.

Ilham Centre mendapati pengundi Orang Asli masih sukar memahami isu semasa dan masih mengingati Najib Razak sebagai perdana menteri.

Peralihan undi Orang Asli kepada PH masih kecil dan menurut badan itu tidak memadai untuk memberi kemenangan.

“Untuk memenangi pilihan raya ini, PH memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 30% daripada mereka,” kata Azlan.

Badan itu juga mendapati PH gagal menangkis isu melibatkan Melayu Islam yang dimanipulasi oleh BN.

“Inilah senjata utama digunakan BN dalam siri kempen mereka,” katanya.

Kehadiran Najib berkempen di kawasan itu juga didapati memberi kesan kepada masyarakat Felda dan Orang Asli di DUN Jelai, katanya.

Menurut badan itu, kebencian ke atas Najib dari kalangan kelas pertengahan didapati kecil dan tidak memberi impak.

PAS pula dilihat agresif berkempen kepada penyokong parti itu untuk memilih BN.

Ilham Centre berkata, kajian mereka menghasilkan penemuan mengejutkan—bahawa ramai penyokong PAS tidak kekok untuk mengundi BN.

Turut berperanan adalah isu setempat, iaitu harga komodit kelapa sawit yang merudum sejak PH mentadbir.

“Pada mereka, PH tidak bersungguh-sungguh untuk membantu mereka dan wujud tafsiran mengatakan PH sengaja berbuat demikian untuk membalas dendam pada peneroka yang memilih BN pada pilihan raya lepas.

“Bagi golongan muda dan generasi kedua Felda juga isu perumahan yang tidak selesai menjadi serangan mereka terhadap PH.”

Cameron Highlands merupakan kerusi tradisi MIC yang dimenangi pemimpin parti itu sejak diwujudkan pada 2004.

Wakilnya yang terakhir, C Sivarrajh hilang kelayakan bertanding disebabkan perbuatan rasuah semasa PRU14, menyebabkan kerusi tersebut kosong dan pilihan raya kecil ini diadakan. – 25 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen