Untung-rugi Pakatan tolak kerjasama dengan PAS pada PRU14


Amin Iskandar

Pakatan Harapan memutuskan kerjasama dengan PAS tidak akan menjadi kenyataan walaupun berdepan risiko pertandingan tiga penjuru yang boleh memberi kelebihan kepada Umno dan Barisan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight , 29 Ogos, 2017.

AGENDA mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam mudah iaitu untuk menentukan kerjasama dengan PAS tetapi perbincangan itu tetap mengambil masa empat jam.

PH dalam satu kenyataan awal pagi ini mengumumkan menolak sebarang kerjasama dengan PAS dan akan bersedia untuk pertembungan tiga penjuru.

The Malaysian Insight difahamkan, dalam membincangkan topik ini, PH mengambil masa lebih dua jam selain membincangkan isu seperti pelantikan pengerusi negeri, laporan rundingan kerusi, laporan jawatankuasa pilihan raya dan perkara berbangkit.

Mesyuarat malam tadi dipengerusikan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dan dihadiri pemimpin kanan setiap parti seperti Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Muhyiddin Yassin (Bersatu), Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (DAP).

Selain itu turut dilihat hadir pemimpin PKR seperti Nurul Izzah Anwar, Chua Tian Chang, Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution Ismail, Zuraida Kamaruddin dan Fahmi Fadzil.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak dilihat hadir pada mesyuarat malam tadi.

Bersatu turut menghantar Mukhriz Mahathir, Dr Rais Hussin dan Syed Saadiq Abdul Rahman.

DAP pula diwakili Tan Kok Wai, Teresa Kok, Gabind Singh Deo, Chong Chieng Jen dan Liew Chin Tong.  

Manakala Amanah menghantar Salahuddin Ayub, Husam Musa, Anuar Tahir dan Khalid Samad.

Mesyuarat PH malam tadi antara lain memperlihatkan Bersatu, Amanah dan DAP dengan jelas menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Manakala PKR berpecah dengan sekumpulan pemimpin menolak kerjasama dengan PAS manakala sekumpulan lagi mahu masa diberikan untuk berunding dengan parti Islam itu.

Berikut adalah antara hujah mengenai untung dan rugi PH menolak sebarang kerjasama dengan PAS pada PRU14 seperti diberitahu pelbagai sumber yang hadir dalam mesyuarat itu kepada The Malaysian Insight:

Untung:

- Menolak kerjasama dengan PAS memberikan isyarat yang jelas kepada pengundi pada PRU14 dan PH masih mempunyai masa untuk memberikan penerangan kepada pengundi di seluruh negara.

- Kerjasama dengan PAS akan menyebabkan PH kehilangan undi bukan Melayu. Dalam pertembungan tiga penjuru bersama Barisan Nasional (BN) dan PAS yang menyebabkan undi Melayu berpecah kepada tiga, undi bukan Melayu bakal menjadi penentu.

- Jika meneruskan kerjasama dengan PAS, pengundi Cina yang menjadi penentu kepada kemenangan kepada negeri seperti Selangor akan menolak PH.

- PH masih boleh menang dalam pertembungan tiga penjuru walaupun dengan margin lebih kecil 2-3%.

- Jika PKR meneruskan kerjasama dengan PAS dan mengumumkannya secara terbuka, ia akan menjejaskan parti PH lain seperti Bersatu, DAP dan Amanah.

- PAS semakin rapat dengan Umno dan tiada jaminan dapat dikawal jika kerjasama diteruskan.

- Sejarah pengkhianatan PAS dalam Pakatan Rakyat pada PRU13, PAS mengkhianati persahabatan dengan meletakkan calon di kerusi PKR seperti Kota Damansara sehingga menyebabkan kerusi itu dimenangi BN.

Hubungan PAS dan Umno yang dilihat semakin erat juga menimbulkan kebimbangan yang pengkhianatan akan berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2017.

Rugi:

- Pertembungan tiga penjuru akan menyebabkan undi berpecah dan menyebabkan BN terus berkuasa. PH tidak akan berjaya menawan Putrajaya.

- Negeri dikuasai parti pembangkang seperti Selangor dan Kelantan akan kembali kepada BN.

- Sekiranya BN berjaya merampas Selangor dan Kelantan, Perdana Menteri Najib Razak akan mengukuhkan kedudukannya dalam Umno dan akan lama berkuasa.

- Jika Najib mempunyai tempoh lebih lama sebagai perdana menteri, Malaysia akan semakin hancur. Kerosakan kepada Malaysia disebabkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

- Tanpa PAS, sukar bagi PH untuk memastikan peratusan besar pengundi Melayu menyokong mereka. Selain Umno, PAS merupakan parti yang dikenali pengundi Melayu terutamanya di luar bandar.

- Pengundi Melayu lebih penting bagi PH kerana majoriti pengundi bukan Melayu sudah menolak Najib dan BN. Mereka tidak akan menolak PH hanya kerana kerjasama dengan PAS.

- Umno dan BN akan menjadi semakin kuat kerana PAS akan menjadi “spoiler” di seluruh negara yang menyebabkan gabungan pemerintah itu terus berkuasa.

Semalam, badan kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE) mengumumkan pertembungan satu lawan satu pada PRU14 akan memberikan keuntungan besar kepada pembangkang.

Kaji selidik IDE juga menunjukkan sekiranya PH bekerjasama dengan PAS pada PRU14, pembangkang berpeluang kekal di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, dan merampas Kedah, Perak, Pahang dan Melaka daripada BN. – 29 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen