Singapura arah pasukan keselamatan elak ketegangan


Menteri Pertahanan Singapura Ng Eng Hen berkata pegawai keselamatan diarahkan bertahan supaya tidak menjejaskan syarat diperlukan untuk perbincangan yang membina dan resolusi damai berhubung pertikaian'. – Gambar EPA, 15 Januari, 2019.

KERAJAAN Singapura mengarahkan agensi keselamatannya “bertahan dan mengelakkan sebarang pertambahan ketegangan” dengan Malaysia, ketika pertikaian maritim antara kedua-dua negara bertambah buruk pada hujung minggu, lapor Channel News Asia.

Bercakap di Parlimen Singapura hari ini, Menteri Pertahanan Singapura Ng Eng Hen berkata anggota keselamatan “berulang kali mendesak” kapal kerajaan Malaysia berundur dari perairan yang didakwa republik itu sebagai miliknya.

Ng berkata pegawai keselamatan diarahkan bertahan “supaya tidak menjejaskan syarat diperlukan untuk perbincangan yang membina dan resolusi damai berhubung pertikaian”.

Singapura mendakwa Malaysia meluaskan had pelabuhan Johor Baru sehingga menceroboh perairan wilayahnya.

Putrajaya juga menuntut perairan itu, dan berkata ia tidak akan mengalihkan kapalnya sehingga pertikaian itu diselesaikan.

Kemajuan yang dibuat dalam pertemuan minggu lalu antara menteri luar kedua-dua negara nampaknya terungkai selepas Menteri Besar Johor, Osman Sapian melawat sebuah kapal Malaysia yang diletakkan di perairan yang menjadi pertikaian sehari selepas perbincangan tersebut.

Ng memberitahu Parlimen “pencerobohan” Osman ke perairan Singapura adalah provokatif dan bercanggah dengan dasar kerajaan Malaysia yang dinyatakan secara rasmi.

“Ketegangan dan risiko sebenar meningkat semasa kejadian ini,” katanya.

“Pengawal Polis Pantai kami dan kapal Tentera Laut Republik Singapura bertindak serta merta terhadap provokasi ini, kerana mereka terpaksa. Akibatnya, jumlah kapal di kawasan itu lebih dua kali ganda,” kata Ng.

Menurutnya, provokasi itu tidak membantu menyelesaikan pertikaian dan akan menyebabkan kemelut berterusan bagi hubungan dua hala Malaysia dan Singapura.

Ng berkata walaupun ketegangan meningkat, “kedua-dua pihak mahu menyelesaikan masalah melalui perbincangan dan cara yang aman”.

Kedua-dua negara juga kini terlibat dalam pertikaian ruang udara, apabila Malaysia membantah prosedur prosedur pendaratan instrumen yang digunakan di Lapangan Terbang Seletar Singapura, dengan alasan ia akan menghalang pembangunan di pelabuhan Pasir Gudang.

Menteri pengangkutan dari Malaysia dan Singapura bersetuju bertemu akhir bulan ini untuk perbincangan lanjut mengenai perkara itu. – 15 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen