581 kes dera kanak-kanak didera pengasuh dilaporkan sejak 2015


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rohani Abdul Karim berkata kebanyakan kes kemalangan berlaku di taska yang tidak berdaftar dan berpunca daripada pengasuh yang tidak menghadiri kursus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2017.

SEBANYAK 581 kes penderaan kanak-kanak yang dilakukan pengasuh, dilaporkan dari 2015 hingga Jun tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rohani Abdul Karim berkata mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu, sebanyak 146 kes berkenaan bermula awal tahun ini sehingga Jun.

“Sebanyak 32 taska dikenakan tindakan arahan bertulis, tujuh taska diambil tindakan lak, 14 taska dikenakan tindakan kompaun, empat taska dikenakan tindakan tutup sementara, 52 taska dibatalkan pendaftaran dan dua taska lagi telah didakwa pada tempoh tersebut,” katanya dalam ucapan perasmian sempena majlis penutup Bengkel Khas Taska di Rumah, di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata kementeriannya memandang serius kes penderaan kanak-kanak dan pengabaian berlaku di pelbagai tempat termasuk di taska.

Bengkel Khas Taska di Rumah anjuran Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) diikuti 250 peserta itu bertujuan memberi pendedahan berhubung keperluan pendaftaran taska di rumah serta menggalakkan serta memastikan semua taska itu berdaftar dengan JKM.

Jelasnya, kebanyakan kes kemalangan berlaku di taska adalah di kalangan taska yang tidak berdaftar dan berpunca dari pengasuh yang tidak menghadiri Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP). – Bernama, 27 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen