Polis Thai bunuh dua suspek dikaitkan kejadian tembakan di sekolah


Gambar menunjukkan seorang anggota polis memeriksa kawasan kejadian serangan hendap di Pattani dua tahun lepas. kejadian ganas di selatan Thailand terus menghantui penduduk awam. – Gambar fail EPA, 12 Januari, 2019.

DUA pemberontak yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tembakan motosikal di sebuah sekolah di selatan Thailand ditembak mati Sabtu lalu, kata polis, ketika UNICEF memberi amaran tentang trauma terhadap kanak-kanak berhampiran tempat kejadian keganasan.

Sejak tahun 2004 pertembungan antara pemberontak muslim Melayu  dan majoriti Buddha di Thailand yang menguasai wilayah itu lebih daripada 100 tahun lalu telah membunuh hampir 7,000 orang, kebanyakan mangsa merupakan orang awam bagi kedua-dua agama.

Konflik di wilayah itu jarang menjadi tajuk utama global namun ia merupakan realiti bagi penduduk di wilayah sempadan itu di mana pasukan keselamatan mengekalkan kekuasaan, di samping dibantu “sukarelawan” pertahanan yang dibayar rendah daripada kalangan masyarakat setempat.

Empat orang yang terbunuh dalam kejadian tembak-menembak itu adalah penganut Islam yang sedang menjaga sebuah sekolah di wilayah Pattani ketika penyerang melepaskan tembakan sebelum sesi makan tengahari murid-murid sekolah.

Komandan polis wilayah Pattani Piyawat Chalermsri memberitahu AFP pada Sabtu bahawa dua orang yang didakwa mempunyai kaitan dengan kejadian ganas itu terbunuh dalam sebuah kejadian tembak-menembak pada pagi Sabtu.

Walaupun beliau tidak memberikan maklumat mengenai identiti atau kumpulan mereka, beliau berkata polis “yakin bahawa mereka adalah kumpulan yang sama melakukan serangan pada hari Khamis” dengan menaiki motosikal.

Pihak berkuasa juga berjaya menahan seorang suspek dan menyoal siasat lima yang lain, sementara sumber ketenteraan mengatakan seorang kanak-kanak lapan tahun telah terkena tembakan peluru namun tidak cedera parah.

Wakil UNICEF Thailand, Thomas Davin berkata pada hari Jumaat bahawa seorang kanak-kanak yang bersekolah di Bukoh itu dilaporkan cedera akibat serpihan dan beberapa kanak-kanak lain yang menyaksikan serangan itu mungkin boleh menghadapi trauma psikologi jangka panjang. – AFP, 12 Januari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen