Remaja hilang tiga bulan ditemui selepas ibu bapanya ditembak mati


Jayme Closs di pekan Gordon, dekat Tasik Superior dan timur laut Minneapolis, Amerika Syarikat. – Gambar Yahoo, 11 Januari, 2019.

SEORANG remaja perempuan Amerika Syarikat yang hilang hampir tiga bulan selepas ibu bapanya ditembak mati, akhirnya ditemukan.

“Jayme Closs ditemukan masih hidup,” kata pejabat syerif di Douglas County, Wisconsin, dalam satu kenyataan lewat Khamis.

Kenyataan itu menyebut remaja berusia 13 tahun itu ditemukan di pekan Gordon, dekat Tasik Superior dan timur laut Minneapolis.

Seorang suspek berhubung kes itu ditahan polis kerana disyaki menembak mati ibu bapa Closs.

Bagaimanapun identiti suspek tidak didedahkan buat masa ini.

Jabatan syerif di Barron County dijangka mengeluarkan lebih banyak maklumat berhubung penahanan suspek tersebut untuk membantu siasatan kes bunuh pasangan suami isteri terbabit.

Pihak FBI sebelum ini melancarkan operasi mencari Closs dan menyifatkan nyawa remaja itu sebagai terancam.

Dia dipercayai menjadi saksi pembunuhan ibu bapanya tetapi tidak dianggap sebagai suspek berdasarkan bukti yang ditemukan di lokasi kejadian.

Closs menghilangkan diri selepas polis menerima panggilan kecemasan yang dibuat menggunakan telefon bimbit di rumahnya, lokasi James Closs, 56, dan Denise Closs, 46, ditemukan mati ditembak.

Polsi tidak mengetahui punca sebenar dan motif pembunuhan itu, manakala senjata yang digunakan juga tidak ditemui. – AFP, 11 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen