Sekatan AS tidak jejas projek Rusia bina pesawat MC-21


Pesawat komersial MC-21 dijangka mula beroperasi pada 2020. – Gambar Wikipedia, 11 Januari, 2019.

RUSIA mendakwa projek membina pesawat MC-21 tetap berjalan lancar dan mengikut jadual, walaupun negara itu berdepan sekatan dari Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Xinhua memtik media tempatan.

“Kerajaan Rusia sentiasa memantau projek MC-21. Setakat ini tiada sebarang masalah yang mengancam projek itu,” lapor Sputnik memetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri Yury Borisov. 

Menurut Sputnik, Kementerian Perindustrian dan Perdagangan berkata Rusia telah mengambil langkah yang diperlukan bagi mengatasi masalah disebabkan sekatan itu.

Akhbar Rusia Kommersant pada Khamis melaporkan sekatan AS menyebabkan import bahan komposit Rusia dari AS dan Jepun yang diperlukan untuk membuat pesawat MC-21 tidak dapat dilakukan.

Rusia tidak membuat komponen yang diperlukan itu dan syarikat tempatan Rostec dan United Aircraft Corporation (UAC) mengambil masa untuk mengatur pengeluaran domestik kerana bahan yang ada hanya cukup untuk membuat sayap enam pesawat.

Rostec bagaimanapun menyifatkan isu penghantaran komposit adalah terpencil dan ia boleh diatasi. 

“Pesawat pertama dijadual siap pada 2020 dan tarikh ini masih relevan untuk UAC,” katanya,

MC-21 adalah pesawat jarak sederhana yang dilengkapi dua enjin dengan kapasiti antara 150 hingga 212 penumpang.

Hubungan Rusia dan negara barat meruncing sejak 2014 susulan beberapa insiden termasuk krisis Ukraine, dakwaan mencampuri urusan pilihan raya presiden AS dan serangan agen saraf terhadap bekas perisik Rusia di Britain. – Bernama, 11 Januari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen