Bermula 2019, Protege ganti SL1M


Program “Profesional Training and Education for Graduating Entrepreneurs” (Protege) akan bertindak sebagai medium latihan buat mereka yang sedang bekerja ataupun menjadi usahawan kepada semua golongan belia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 3 Januari, 2019.

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan (KPU) akan menggantikan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dengan program baharu dikenali sebagai Protege bermula awal tahun ini, kata Menteri Mohd Redzuan Md Yusof.

Program “Profesional Training and Education for Graduating Entrepreneurs” (Protege) itu, katanya, akan bertindak sebagai medium latihan buat mereka yang sedang bekerja ataupun menjadi usahawan.

“Program ini mungkin berbeza daripada yang sebelumnya. Kita akan mengadakan sesi perkongsian rakan industri untuk belia yang mempunyai diploma, ijazah, atau lepasan sekolah yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran.

“Melalui perkongsian ini, mereka akan ditempatkan di syarikat yang mereka boleh bekerja dan dilatih, yang mana mereka dapat bekerja, dan pada masa sama, belajar,” katanya, seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Redzuan juga berkata, model itu akan digunakan di peringkat universiti untuk membentuk siswazah yang lebih berdaya maju.

“Protege juga menyediakan ruang kepada belia untuk bekerja dan berada dalam pasaran kerja apabila tamat pengajian di institusi pengajian tinggi,” katanya.

Kajian Peralihan dari Sekolah ke Pekerjaan (SWTS) oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) baru-baru ini menyarankan SL1M dinilai semula kerana ia hanya membabitkan graduan universiti.

SL1M dilancarkan pada 2011 ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), bertujuan membantu graduan menganggur meningkatkan keupayaan diri dalam tempoh setahun latihan.

Skim itu kemudiannya diletakkan di bawah KPU oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan diberi suntikan baharu untuk melahirkan golongan muda yang lebih berdaya tahan dalam pasaran. – 3 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen