Lebih 700 disahkan maut dalam bencana di Selatan Asia


Penduduk di Assam, India terpaksa berlindung di tanah tinggi yang membentuk pulau selepas kawasan sekitarnya ditenggelami air akibat hujan berterusan.– Gambar EPA, 20 Ogos, 2017.

LEBIH 700 orang disahkan terbunuh manakala lebih sejuta lagi terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dalam bencana banjir yang melanda Selatan Asia, kata pihak berkuasa.

Sekurang-kurangnya 100 orang maut dalam masa semalaman di India dan Bangladesh berikutan banjir sejak 10 Ogos lalu akibat musim hujan yang melanda kawasan utara dan timur rantau berkenaan.

Pegawai kanan pengurusan bencana timur negeri Bihar, Anirudh Kumar berkata 53 mayat ditemui selepas paras air mula surut di beberapa kawasan.

“Jumlah kematian setakat ini kekal 205,” kata Kumar kepada AFP.

Hampir 400,000 orang tinggal di pusat perlindungan sementara, dan dianggarkan 10 juta orang terjejas akibat banjir yang terburuk sejak 2008 yang menyebabkan hampir 300 orang terbunuh.

10,000 anggota kecemasan dan tentera dikerahkan bagi membantu petugas dalam operasi menyelamat. Di Uttar Pradesh, 69 kematian dilaporkan dan dua juta penduduk masih terjejas akibat banjir.  

Hampir separuh daripada 75 daerah di negeri itu dilanda banjir dan pihak berkuasa kini meminta bantuan tentera untuk membantu memindahkan mangsa di sekurang-kurangnya dua daerah yang terjejas.

Kedua-dua negeri terbabit terletak di sempadan Nepal yang turut mengalami tanah runtuh dan banjir menyebabkan 135 orang maut. 30 orang lagi dilaporkan masih hilang.

Sekurang-kurangnya 20 peratus daripada 28 juta orang di negeri Himalaya terjejas dalam bencana yang disifatkan oleh PBB sebagai bencana paling buruk sejak 15 tahun lalu.

Di timur negeri Barat Bengal India dan kawasan terpencil di timur laut negeri Assam, 122 orang maut dengan hampir tiga juta terjejas akibat banjir. – AFP, 20 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen