Tak adil potong gaji bayar PTPTN, kata Syed Saddiq


MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui pemotongan gaji untuk membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) tidak adil kepada peminjam.

Lebih-lebih lagi apabila golongan itu sudahpun membuat bayaran balik secara konsisten selama ini, katanya yang akan membangkitkan perkara itu di mesyuarat jemaah menteri esok.

“Saya ambil maklum pandangan dan rintihan yang disampaikan oleh anak muda berkenaan kadar bayaran semula PTPTN. 

“Pada esok hari, semasa mesyuarat jemaah menteri, saya akan bawa suara anda supaya kes ini dapat dipertimbangkan semula,” katanya dalam satu video dimuatkan di Instagram.

Jelasnya, pembayaran semula pinjaman tersebut sememangnya diwajibkan tetapi ia tidak harus membebankan golongan muda tersebut.

“Saya percaya, walaupun kita perlu membayar semula hutang, bayar tetap bayar, tetapi pembayaran itu perlu adil untuk membantu anak muda dan tidak terlalu membebankan mereka.

“Khususnya kepada anak muda yang telah pun selama ini membayar (pinjaman) PTPTN, selepas berunding dengan PTPTN, patuh kepada syarat dan bayar menepati masa,” katanya lagi.

Pelaksanaan baharu dasar potongan gaji berjadual tersebut menimbulkan bantahan peminjam yang menyuarakan ketidakpuasan hati di media sosial. 

Langkah berkenaan juga meraih kritikan meluas oleh pengguna di media sosial yang turut mempersoalkan komitmen Pakatan Harapan ke atas janji dalam manifesto parti itu.

Mengulas isu sama hari ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir menuntut agar pelaksanaan potongan gaji itu dikaji semula

Wakil rakyat muda DAP juga terkejut dengan pelaksanaan dasar baharu itu yang dianggap tidak adil dan membebankan peminjam.

Mekanisme yang diumumkan PTPTN semalam melibatkan potongan wajib sebanyak antara 2% hingga 15% daripada gaji bulanan peminjam, bermula dari peminjam yang berpendapatan RM2,000. 

Jumlah bayaran bagi bergaji RM2,000 sebulan hanyalah RM40, namun peminjam berpendapatan RM8,000 dan ke atas terpaksa menanggung potongan 5% atau RM1,200 setiap bulan. – 6 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen