Tiada lagi peminjam PTPTN boleh terlepas


Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan berkata PTPTN akan bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan untuk menguatkuasakan potongan gaji sama seperti yang dipakai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2018.

TIADA lagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang bergaji lebih RM2,000 boleh terlepas daripada membayar hutang apabila skim potongan gaji berjadual dilaksanakan mulai Januari ini, dengan bayaran minimum RM40 sebulan.

Di bawah skim itu, PTPTN akan bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan untuk menguatkuasakan potongan gaji sama seperti yang dipakai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kata pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan.

“PTPTN akan mengeluarkan arahan potongan gaji mengikut peratus potongan kepada majikan.

“Majikan akan bertanggungjawab membuat potongan gaji pekerja bagi bayaran balik pinjaman kepada PTPTN,” katanya, seperti dipetik BH Online.

Majikan yang membantu pekerja mereka melunaskan pinjaman PTPTN melalui skim itu akan diberikan pelepasan cukai bagi jumlah yang dibayar, katanya lagi.

Untuk melaksanakan skim baru itu, PTPTN akan bekerjasama dengan LHDN, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Jabatan Imigresen untuk mendapatkan maklumat peminjam dan majikan mereka, jelas beliau.

Skim potongan gaji itu dilaksanakan serendah 2% sehingga 15% bagi mereka yang berpendapatan RM2,000 dan ke atas.

Skim itu diumumkan sebelum ini oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019, Oktober lalu.

Di bawah skim itu juga nanti, 225,000 peminjam yang berpendapatan kurang RM2,000 akan menikmati pelepasan bayaran balik melalui skim PGB.

“Kaedah ini lebih adil kerana ia memastikan mereka yang kurang berada tidak terbeban, manakala yang kaya tidak boleh mengambil kesempatan,” katanya.

Wan Saiful juga memaklumkan PTPTN masih mengkaji desakan supaya yuran pentadbiran badan itu antara satu hingga tiga peratus dimansuhkan.

Isu pinjaman PTPTN jadi perhatian setelah ia diangkat menjadi antara isu utama dalam kempen Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Dalam manifestonya, PH berjanji akan menangguhkan bayaran balik bagi peminjam yang bergaji kurang RM4,000 sebulan. 

Wan Saiful bagaimanapun kemudian mengaku janji itu sukar dilaksanakan kerana ia dibuat tanpa maklumat lengkap mengenai kedudukan kewangan PTPTN dan negara di bawah pentadbiran Barisan Nasional. – 5 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen