Bolehkah GST dihapuskan? soal rakyat kepada Pakatan


Yasmin Ramlan Looi Sue-Chern

Rakyat yang hadir ke ceramah Pakatan Harapan di Dewan Muhibbah Merbau Kudung malam tadi mahukan pembangkang memberikan cadangan bagaimana mereka akan menghapuskan GST sekiranya diberikan kuasa kelak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-chern, 20 Ogos, 2017.

DALAM setiap ceramahnya, Pakatan Harapan (PH) berjanji kepada rakyat yang mereka akan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang.

Namun, orang ramai tertanya-tanya sama ada penghapusan itu mampu dilakukan.

Tanpa cukai itu, bagaimana PH akan mampu mengumpul berbilion ringgit untuk menjana pendapatan negara.

“Mereka tengah bercakap tentang bagaimana untuk menghapuskan GST. Tapi boleh ke dilaksanakan? Macam mana bila Pakatan sedar yang mereka tak cukup duit untuk mentadbir kerajaan?

“Adakah mereka akan terpaksa laksana semula GST? Mungkin mereka akan perkenalkan GST pada kadar yang rendah,” kata penduduk Tasek Gelugor yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Din.

Pak Din yang berusia 62 tahun dan bekerja sendiri itu ditemubual The Malaysian Insight pada ceramah 1MDB “Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” anjuran PH di Dewan Muhibbah Merbau Kudung malam tadi.

Pada ceramah itu, Timbalan Pengerusi Bersatu Pulau Pinang Shariff Omar dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution bercakap tentang janji PH untuk menghapuskan cukai itu sekiranya berjaya menawan Putrajaya.

Pak Din berkata dia amat gembira jika PH benar-benar menghapuskan cukai yang menjadi beban kepada kos sara hidup yang tinggi.

“Tinggal di kampung mungkin tak banyak belanja macam kat bandar, tapi kesan GST tu kami memang betul-betul terasa. Orang kampung macam saya ni pun kena berkira-kira setiap sen yang dibelanja,” kata penduduk Kampung Merbau Kudung itu.

Mohd Shakli Ahmad, 47, dair Kepala Batas pula berkata berita baik sekiranya GST berjaya dihapuskan PH.

“Saya harap sangat Pakatan akan tunaikan janji nak hapuskan GST. Semuanya jadi mahal sejak GST,” kata bapa kepada tiga orang anak yang bekerja di kilang pembuatan bahagian motosikal itu.

“GST dah buat ramai orang marah dengan Umno dan Barisan nasional. Rakyat dah tak boleh bergantung dengan parti ini,” katanya.

Perlukan perubahan

Menurut Liyana Sudin, 35, yang datang bersama suaminya itu berkata harga barang yang meningkat membuatkan perbelanjaan dapurnya terbatas.

“Suami saya kerja. Kalau dia bagi saya RM50 untuk beli barang dapur, apalah sangat dapat. Beli minyak, beras dah habis.

“Dulu boleh lagi beli ikan termenong. Sekarang ini kita nak beli pun termenong tengok. Mahal.. dulu sekilo 5 ringgit sekarang berbelas-belas ringgit,” kata surirumah itu.

Katanya bagi mengelakkan rakyat daripada terus tertindas dan terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, negara memerlukan perubahan.

“Kami nak datang dengar ceramah ni sebab nak tahu perkembangan semasa apa yang berlaku. Apa yang pemimpin kita buat untuk rakyat.

“Kita ini perlukan perubahan,” katanya.

Tambahnya, dengan melakukan perubahan itu, PH harus diberikan peluang mentadbir negara dan berkata orang ramai tidak perlu berasa takut dengan omokan Umno yang sering memainkan isu perkauman.

“Orang Melayu ni bukan bodoh. Kalau sesetengah orang luar bandar mungkin ada yang takutkan perubahan. Depa (Umno) ni mereka suka takutkan kita - ‘kalau Umno kalah pembangkang take over dan Cina akan perintah,” katanya.

Saifuddin dalam ucapannya berkata Umno sering bermain politik perkauman dengan menakut-nakutkan orang Melayu iaitu pengundi majoriti negara ini dengan kenyataan sedemikian.

“Dari segi politik, (Umno) politik perkauman. Mereka akan kata kalau Umno kalah tiada raja-raja Melayu lagi, mereka kata agama Islam akan tiada, masjid kosong, tiada azan sebab Umno dah tiada.

“Dari segi bahasa pula (Umno kata) orang tak cakap bahasa Melayu dah sebab Umno dah tiada.

“Begitu dia nak bagitahu. Seolah-olah penyelamat negara adalah Umno,” katanya ketika ucapannya itu.

Shariff Omar yang juga bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani bercakap tentang bahaya GST pada ceramah Pakatan Harapan malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-chern, 20 Ogos, 2017.

Terasa bayaran cukai 6% berkali ganda

Annuar Ismail turut merungut tentang GSTdan terasa terbeban kerana cukai yang dikenakan bukan sahaja ke atas barang yang dibeli tetapi juga pelbagai urusan yang dilakukan.

“Bagi saya GST ini memang bebankan, sebba boleh dikatakan hampir setiap apa benda yang kita belanja kena bayar GST. Semua urusan yang kita buat ada GST. Kita tak boleh lari,” kata jurutera berusia 35 tahun itu.

“Sebab itulah kita mai ni sebab nak dengar isu semasa. Kita nak nilai sendiri pembangkang itu. Apa persediaan mereka kalau ambil alih kerajaan. Sebab tadi mereka ada kata nak mansuhkan GST” katanya.

Fasial Mustafa, 50, seorang operator pula memberitahu pelaksanaan GST tidak telus.

“GST ini tak menceritakan matlamat yang sebenar. 6% ini berlipat ganda. Sebab (pembelian) satu barang itu bukan dikenakan GST 6% saja (kerana) dari pemborong sampai ke pembeli kena tanggung GST,” katanya.

GST diperkenalkan kerajaan pada 1 April 2015 dengan kadar 6% , dan berjaya mengutip RM42 bilion setakat ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Najib Razak berkata kutipan GST sebanyak RM42 bilion adalah antara sumber yang menyumbang untuk pembangunan negara.

Beliau turut membidas hasrat pembangkang yang mahu menghapuskan cukai itu dan mempersoalkan bagaimana pihak pembangkang akan memperolehi jumlah wang sebanyak itu untuk pembangunan negara.

Pada ceramah yang dihadiri ratusan rakyat, pemimpin Bersatu, Shariff yang juga bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani dalam ucapannya berkata, sekiranya GST tidak dihapuskan kemungkinan pada masa akan datang jumlah senarai barang makanan yang dikenakan cukai juga akan bertambah.

“GST ni orang mati pun kena GST. Pampers baby pun dikenakan GST.

“Hari tu ada senarai 60 barang makanan yang akan dikenakan GST tapi tangguh. Kalau mereka (BN) menang, mereka bukan ada (senaraikan) 60 tapi mungkin akan tambah.

“Dulu cakap akan kembalikan (wang GST) kepada rakyat (melalui) projek pembangunan. Tapi bila saya tanya, duit tu tak ada,” katanya.

Beliau turut mengulangi janji pemimpin PH yang lain bahawa perkara pertama yang mereka akan lakukan apabila berjaya menawan Putrajaya ialah penghapusan GST.

Antara penceramah dari PH yang hadir memberikan ucapannya adalah Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, pemimpin DAP Mejar Zaidi Ahmad dan Ketua Pemuda Amanah Sany Hamzah. – 20 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen