Malaysia tidak perlu diselamatkan, kata Shahrir di kubu kuat Dr Mahathir


Diyana Ibrahim Melati A. Jalil

Kita tak perlu dihasut oleh mereka yang nakkan kuasa di negara ini, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Shahrir Samad semasa merasmikan Mesyuarat Bahagian Kubang Pasu di Jitra, Kedah hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Ogos, 2017.

MALAYSIA tidak perlu diselamatkan kerana ia telah membuktikan kejayaannya dalam mengukuhkan ekonomi sekaligus menafikan dakwaan pembangkang bahawa negara berada di ambang muflis, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Shahrir Samad.

“Kita dah berjaya, kita dah banyak buat yang luar biasa dan kejayaan sebenarnya datang daripada kita. Kita tak perlu dihasut oleh mereka yang nakkan kuasa di negara ini.

“Kejayaannya kelihatan dan terbukti, hanya yang inginkan kuasa bawa cerita bukan- bukan,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Bahagian Kubang Pasu di Jitra, Kedah hari ini.

Shahrir dalam ucapannya menyentuh tentang Dr Mahathir Mohamad yang kini mempengerusikan Pakatan Harapan dan mengadakan Jelajah Semarak bertajuk “Selamatkan Malaysia Selamat Rakyat”.

Jelajah Semarak yang dilancarkan pada 14 April bertujuan meningkatkan kesedaran berhubung penyelewengan dilakukan Barisan Nasional (BN).

Tambah Shahrir, sebenarnya Abdullah Ahmad Badawi yang mula menyelamatkan Malaysia selepas Dr Mahathir berhenti daripada menjadi perdana menteri.

Selepas Abdullah mengambil alih pentadbiran, kata Shahrir, beliau mengangkat semula dasar pertanian dan membangunkan ekonomi wilayah.

“Saya dikatakan membantah atau tak sehaluan dengan Tun Mahathir kerana dasar.Saya tak setuju kita hanya bangunkan Kuala Lumpur dan tunggu supaya melimpahnya pembangunan kepada negeri lain.

“Apa nak jadi pada Johor Baru, Alor Setar, Kuantan, Sabah dan Sarawak kalau semua pembangunan di Kuala Lumpur,” katanya.

Dasar  Abdullah itu katanya sekaligus mengembalikan falsafah pembangunan  oleh Perdana Menteri Kedua Abdullah Razak Hussein sebelum ia dipinggirkan Dr Mahathir semasa menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

“Tapi kerana Pak Lah jadi perdana menteri beliau hidupkan balik pembangunan wilayah, dihidupkan balik pembangunan luar bandar dan dikembalikan pertanian sebagai satu perniagaan,” katanya dihadapan kira-kira 1000 ahli Umno Kubang Pasu yang hadir hari ini.

Dr Mahathir merupakan bekas ketua Umno Bahagian Kubang Pasu dari 1974 hingga 2004.

Beliau mula bertanding di Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974 yang mana beliau menang tanpa bertanding sebelum diambil oleh Timbalan Menteri Pertahanan Mohd Johari Baharom.

Sebelum ini di Persidangan Pewakilan Pemuda Umno Kubang Pasu, Naib Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun berkata untuk melawan Dr Mahathir ia harus bermula dari Kubang Pasu. – 19 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Memanglah betul kata Tan Sri Shahrir, tetapi juga perlu pembangkang yang berwibawa, bukan semuanya dimonopoli parti kerajaan, itulah apa rakyak nak.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Malaysia Forward · Ulasan