BN ketuk pintu sogok wang, cabutan bertuah, kata Dr Mahathir


Yasmin Ramlan Looi Sue-Chern

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad (tengah) bersama presiden Muhyiddin Yassin (kanan) dan timbalan presiden Mukhriz Mahathir ketika menyertai siri Jelajah Semarak Selamatkan Malaysia, Selamatkan Rakyat di Pulau Pinang malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Ogos, 2017.

BARISAN Nasional (BN) sanggup guna wang membeli sokongan orang ramai bagi meraih sokongan terhadap parti tersebut pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu berkata beliau mendapati di sebuah kampung di Alor Setar, Kedah penduduk disogokkan wang RM100 seorang di setiap rumah, baru-baru ini.

“Di Alor Setar ada satu kampung di bandar kecil yang mempunyai penduduk 5,000 orang..datanglah orang Umno ketuk pintu kononnya nak buat perkiraan jumlah penduduk tetapi bila buka pintu, dia hulur setiap seorang dapat RM100.

“(Jadi) 5,000 orang (penduduk) RM500,000. Itulah cara nak beli sokongan,” katanya ketika memberi ucapan di siri Jelajah Semarak Selamatkan Malaysia, Selamatkan Rakyat di Kompleks Sukan MPSB di Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi.

Anaknya yang juga timbalan presiden parti itu Mukhriz Mahathir berkata Umno terpaksa mengadakan acara cabutan bertuah pada mesyuarat bahagian untuk menarik kedatangan ramai ahlinya.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata “dedak” cabutan bertuah dengan hadiah lumayan seperti kereta dan rumah membuatkan mereka tidak menghiraukan salah laku yang dilakukan oleh Najib Razak.

“Dulu kita kalau boleh dapat telefon kira hebatlah. Yang ini drone. Drone pun (dijadikan) cabutan bertuah.

“Di Alor Setar, cabutan bertuah mesyuarat Umno bahagian tak pernah-pernah berlaku jemput orang ramai sebab takut tak cukup korum kalau tak pergi. Bukan setakat gajet, motor pun ada sampai tujuh biji, kereta pun ada.

“Bukan setakat itu, rumah PPR (Program Perumahan Rakyat) pun ada cabutan bertuah. Sampai macam tu sekali nak kena buat nak bagi orang mai (datang) dalam mesyuarat Umno bahagian,” katanya.

Orang ramai mendengar ucapan pemimpin Pakatan Harapan di siri Jelajah Semarak Selamatkan Malaysia, Selamatkan Rakyat di Pulau Pinang malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Ogos, 2017.

Katanya, perkara sama berlaku pada mesyuarat Umno bahagian di tempat lain termasuk Langkawi, iaitu kawasan yang dibangunkan oleh bapanya, daripada perkampungan nelayan sehingga menjadi pusat pelancongan terkenal di dunia.

“Itu kerajaan Umno ketika ini. Kerana apa? Kerana nila setitik sudah rosakkan parti itu. Bila tak boleh nak cakap, orang pun dah dapat dedak (yang), maka dia (ahli) tak boleh bercakap dah. Sumbat dalam telinga dia tak boleh dengar dah.

“Akhirnya Umno terpaksa menerima pentadbiran yang kleptokrat,” katanya. – 19 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen