Fikir sebelum bercakap, Nurul Izzah beritahu Najib


Asila Jalil

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menegaskan agenda reformasi institusi bagi sistem pemerintahan lebih baik akan diteruskan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak perlu selidik terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan yang agenda Reformasi sudah mati, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Ia kenyataan balas kepada Najib semalam semasa melawat Permatang Pauh, Pulau Pinang, kubu kubu kuat pemimpin PKR yang dipenjarakan Anwar Ibrahim.

Najib mengkritik agenda Reformasi yang mengatakan gerakan itu sudah tiada lagi kerana ia kini dipimpin seorang diktator, merujuk kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad.

“Kami tidak memulakan Reformasi secara khusus untuk mensasarkan Dr Mahathir. Ia jelas merupakan agenda reformasi institusi, bagi sistem pemerintahan yang lebih baik.

“Saya ingin meminta kepada PM, sila fikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan mengutuk intipati agenda yang akan memberi manfaat kepada rakyat,” kata Nurul Izzah pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Nurul Izzah menambah, Najib perlu menjadi “lelaki sejati” dan tidak memusnahkan agenda yang penting bagi kelangsungan negara.

Beliau mempersoalkan jika perdana menteri membuat kenyataan itu tanpa memikirkan kebajikan rakyat, yang merupakan agenda pembaharuan.

“Adakah Najib Razak menentang perjuangan membasmi rasuah? Adakah beliau menentang usaha untuk memastikan kita mengurangkan ketidaksaksamaan dan memperbaiki kebajikan rakyat Malaysia?

“Ini adalah sebahagian daripada agenda pembaharuan.

“Najib juga mesti selidik dahulu, baca sejarah dan kemudian memberi komen,” katanya.

Semalam, Najib memberitahu orang ramai di Permatang Pauh agar membuat perubahan dan menyokong Barisan Nasional (BN) sekali lagi kerana mempunyai lebih kemampuan untuk menjadi negara lebih baik.

Najib juga mempersendakan bekas perdana menteri, Dr Mahathir dengan menyatakan pusingan U yang dibuat dengan meninggalkan Umno dan menyertai pembangkang. – 18 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen