Reman 3 remaja terlibat kekecohan forum dilanjutkan


Muzliza Mustafa

Tiga remaja ini adalah antara yang awal ditangkap oleh polis bagi membantu siasatan kejadian pada Ahad lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 Ogos, 2017.

PERINTAH reman bagi tiga remaja yang didakwa terlibat dalam kekacauan forum Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam hujung minggu lalu dilanjutkan empat hari lagi, susulan tamat tempohnya hari ini.

Majistret Khairul Nizam Abu Bakar membenarkan permohonan pihak polis.

Tiga remaja berumur 17,18 dan 19 tahun adalah antara yang awal ditangkap oleh polis bagi membantu siasatan kejadian pada Ahad lalu.

Mereka dibawa ke kompleks mahkamah di Shah Alam pada jam 11 ​​pagi.

Beberapa ahli keluarga kelihatan di sana dengan harapan dapat bertemu anak-anak mereka tetapi dihalang oleh pihak polis.

“Tolong jangan ambil gambar mereka. Mereka masih pelajar,” kata seorang ahli keluarga suspek.

Suspek adalah antara 13 yang ditangkap oleh polis Selangor setakat ini untuk membantu siasatan terhadap kekecohan semasa forum itu.

Polis juga merampas telefon bimbit mereka untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian itu, kasut, selipar, kerusi dan botol air dilemparkan ke arah pentas di mana Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berada.

Suar juga dinyalakan di sekitar dewan menimbulkan panik kepada orang ramai yang hadir.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight suspek dibayar RM50 untuk hadir di program itu dan bonus jika berjaya menyebabkan kekacauan.

Mereka diminta berkumpul di satu lokasi di Setiawangsa dan juga diberi kemeja-T untuk dipakai.

Difahamkan mereka dibawa ke forum dengan kereta.

Seorang ahli keluarga yang pada awalnya enggan bercakap dengan wartawan berkata mereka tidak mahu mengganggu siasatan polis dengan memberi sebarang kenyataan.

“Kami tidak mahu kenyataan kami disalah tafsir. Kami tidak mahu mereka (suspek) menjadi alat politik. Jadi, lebih baik bagi kami diam. Dia seorang anak yang baik. Dia berada di sana pada masa dan tempat yang salah,” kata orang itu.

Dia bagaimanapun, enggan mendedahkan suspek yang dirujuknya.

Beliau berkata keluarga terutama si ibu berasa tertekan dengan penahanan anaknya.

Semua remaja dilihat menangis apabila melihat ibu bapa mereka di mahkamah hari ini.

Polis kini sedang berusaha untuk mengesan dalang di sebalik kejadian yang menyebabkan forum itu dihentikan serta-merta. – 17 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen