Memang sah ada khianat dalam pemilihan PKR, kata Rafizi


Desmond Davidson

Rafizi Ramli berkata sudah hampir mendapat 3,000 undi untuk bersaing dengan Azmin Ali dan seterusnya menang di Sarawak, sehinggalah belaku kejadian itu petang tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 10 November, 2018.

CALON timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata pencerobohan ke atas sistem e-undi di cabang Julau mengesahkan rasa syaknya bahawa wujud perbuatan khianat dalam pemilihan parti.

“Saya lega akhirnya dapat pengesahan (pencerobohan).”

Beliau mengesyaki sistem e-undi pemilihan di Sabah juga telah diceroboh.

“Tak masuk akal kalau ikut bilangan keluar mengundi dengan keputusan yang kami dapat.

“Kami terkejut kerana ia sangat di luar jangkaan,” kata Rafizi ketika ditemui pemberita semalam.

“Memandangkan sekarang sudah jelas, saya harap parti dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan menyiasat perkara ini.”

Kata Rafizi, pada jam 1 petang beliau mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila melihat seorang lelaki “mengusik” tablet-tablet yang digunakan pada pemilihan cabang Julau.

“Malah kami ada merakam perbuatannya.”

Apabila beliau dan pemantau mendekatinya, lelaki itu mendakwa dia sedang memeriksa tablet-tablet itu kerana mengesyaki telah diceroboh.

Pengerusi JPP Rashid Din sebelum itu mengesahkan sebanyak 10 tablet yang digunakan pada pemilihan cabang Julau telah diceroboh.

Rafizi berkata perisian ‘Prey Anti-Theft’ seperti yang diberitahu Rashid direka untuk “memadam” undi pada tablet.

Disebabkan pencerobohan sistem e-undi itu, Rashid mengumumkan keputusan di cabang Julau digantung sementara.

Rafizi yang merupaka bekas ahli Parlimen Pandan berkata beliau sudah hampir mendapat 3,000 undi untuk bersaing dengan Azmin dan seterusnya menang di Sarawak, sehinggalah belaku kejadian itu petang tadi.

“Saya dah hampir menang di Julau, hampir dapat 3,000 undi.” – 10 November, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen