Retorik politik racun anak muda, kata cucu Tun Dr Ismail


Retorik politik meracuni pemikiran anak muda sehingga politik kebencian sebati dalam jiwa mereka, kata Taufiq Ismail Mustafa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2017.

RETORIK politik di negara ini sudah meracuni fikiran generasi muda sehingga mereka sanggup bertindak biadab dan kurang ajar merusuh dalam forum “Nothing to Hide 2.0” di Shah Alam Ahad lepas, kata cucu bekas Timbalan Perdana Menteri Dr Ismail Abdul Rahman.

Dalam satu kenyataan media, Tariq Ismail Mustafa berkata masyarakat sudah jadi begitu lali dengan politik kebencian sehingga semua tindakan ganas, cemuhan dan cacian sebati dengan jiwa mereka.

Katanya, politik kebencian dan tidak matang inilah yang “mendidik anak-anak kita agar tidak mempedulikan yang batil dan yang hak”.

“Siapakah sebenarnya yang bersalah?

“Jika kita ketepikan retorik politik sebentar, dan fikir dengan mendalam, kita harus akui bahawa retorik politik di Malaysia sekarang inilah yang meracuni fikiran generasi muda kita.

“Fikirkan,” katanya, yang juga ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu.

Beliau merujuk kepada beberapa insiden sebelum ini yang menunjukkan politik kebencian termasuk cemuhan terhadap Dr Mahathir Mohamad yang berdarah campuran serta budaya politik samseng dan demonstrasi jalanan yang seringkali bertukar ganas.

Kenyataan Tariq ini senada dengan keluhan bekas pemimpin kanan Umno Rafidah Aziz semalam yang membuat pemerhatian budaya politik Malaysia sudah dipengaruhi budaya kurang ajar dengan pemimpinnya hilang adab dan sopan sehingga perangai buruk itu dicontohi oleh pengikut mereka.

Tariq menyertai Bersatu pada September tahun lalu setelah kecewa dengan Umno yang katanya ternampak lebih seperti sebuah syarikat berkaitan kerajaan, dan bukannya parti politik, kerana semua orang mengejar wang.

“Anak-anak kita membesar dalam suasana yang mana perbezaan dicemuh, perbezaan pendapat dicaci, dan perbezaan agama dan bangsa bezanya antara syurga dan neraka.

“Anak-anak kita membesar dalam suasana yang mana yang tua dan matang sibuk berpolitik atau mencari nafkah hinggakan tiada masa mendengar permasalahan belia-belia kini.

“Tidak hairanlah jika ini yang menyebabkan anak-anak kita kehilangan pedoman moral dan terus tiada tempat mengadu,” katanya.

Tariq berharap masyarakat akan lebih mendengar suara anak muda dan seterusnya membantu dan membimbing mereka mengharungi hidup yang mencabar kini, dan bukannya mempolitikkan masa depan mereka.

Ketegangan timbul ketika beberapa remaja didakwa dibayar RM50 pihak tertentu mula membaling kerusi dan kasut serta membakar suar ketika Dr Mahathir Mohamad berucap menyebabkan majlis dihentikan serta merta. – Gambar fail The Malaysian Insight , 15 Ogos, 2017.

“Tetapi masyarakat lalai sehingga kejadian seperti ini menimbulkan tanda tanya, apakah salah kita dan di mana hilangnya peradaban Melayu kini.

“Kita mesti mengorak langkah yang lebih positif dan mulakan dengan tidak mempolitikkan masa depan anak-anak kita,” katanya.

Sambil menyeru insiden kekecohan di Shah Alam pada Ahad dijadikan sempadan, Tariq berharap semua pihak dapat bekerjasama mencari penyelesaian yang mantap demi masa depan generasi muda itu.

“Keadaan masih belum terlambat,” katanya.

Forum Nothing to Hide 2.0 anjuran Bersatu sepatutnya mempertemukan Dr Mahathir dan Perdana Menteri Najib Razak untuk berdebat mengenai isu berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad. Najib tidak hadir dan berada di Melaka merasmikan mesyuarat bahagian Umno di Melaka.

Forum itu sempat berlangsung selama sejam sebelum bertukar kecoh selepas individu yang tidak dikenali membaling kasut ke arah pentas tempat Dr Mahathir berucap.

Tiga remaja berumur 17, 18 dan 19 ditahan reman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan kerana merusuh dan menggunakan senjata berbahaya. Siasatan awal polis mendedahkan mereka dibayar RM50 untuk hadir ke forum tersebut.

 

Ketiga-tiga remaja yang didakwa mencetuskan kekecohan itu disiasat mengikut Seksyen 15(2)(d) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 153 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata  Berbahaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2017.

Pemimpin Pakatan Harapan senada mengecam kejadian dan menuduh ia didalangi oleh Umno serta meminta Najib bertanggungjawab. Pemimpin Barisan Nasional sebaliknya mendakwa kejadian berlaku antara lain kerana Bersatu gagal menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi.

Setiausaha Akhbar Najib, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad pula mendakwa kekecohan tercetus dalam forum itu kerana Dr Mahathir gagal menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

Nada jawapannya itu kemudian dilaungkan semula oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mengatakan hadirin forum itu marah kerana Dr Mahathir tidak dapat memberikan jawapan yang memuaskan hati tentang peristiwa Memali. – 15 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen