2 ahli Parlimen DAP Perak kalah rayuan persempadanan semula SPR


Hakim mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, yang tidak memberikan kebenaran kepada kedua-dua ahli Parlimen memulakan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi persempadanan semula kawasan pilihan raya. – Gambar fail The Malaysia Insight, 15 Ogos, 2017.

DUA ahli Parlimen DAP dari Perak kalah dalam rayuan di Mahkamah Rayuan semalam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan mereka memulakan permohonan semakan kehakiman berhubung cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya masing-masing.

Hakim Mohd Zawawi Salleh, yang mengetuai panel hakim, keputusan sebulat suara menolak rayuan dibawa oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Thomas Su Keong Siong.

“Kami berpendapat proses persempadanan semula tidak diterima oleh semakan kehakiman,” kata Zawawi, yang mengetuai panel hakim bersama Abdul Rahman Sebli dan Kamardin Hashim.

Beliau mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi, yang tidak memberikan kebenaran kepada kedua-dua ahli Parlimen memulakan permohonan semakan kehakiman yang bertujuan membatalkan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kedua bagi pelaksanaan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Hakim Che Ruzima Ghazali dari Mahkamah Tinggi Ipoh, pada Mei, enggan memberikan kebenaran memulakan permohonan semakan kehakiman di kedua-dua kawasan pilihan raya itu, memutuskan ia remeh.

Peguam A Surendra Ananth, yang mewakili dua ahli Parlimen itu berkata mahkamah boleh mendengar semakan kehakiman anak guamnya.

Beliau berkata SPR mempunyai kewajipan memberikan sebab bagi keputusannya melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Peguam kanan persekutuan Amarjeet Singh berhujah perkara itu tidak diterima oleh semakan kehakiman kerana keputusan SPR bukanlah muktamad dan tidak memberi kesan kepada undang-undang.

Beliau berkata keputusan muktamad cadangan SPR itu diberikan di Parlimen, sambil menambah ia adalah makluman dan terpulang kepada Parlimen sama ada untuk menerima laporan itu atau sebaliknya.

Di luar mahkamah, kedua-dua ahli Parlimen itu memberitahu wartawan yang keputusan mahkamah bermaksud pelaksanaan persempadanan semula tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

Kulasegaran berkata mereka akan membincangkan sama ada untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan. – 15 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen