Levi pelepasan akan kurangkan ketibaan, kata ejen pelancongan


Yasmin Ramlan

Levi baharu itu hanya akan menyekat pelacong dalam bajet yang terhad dan tidak akan memberikan sebarang kesan positif terhadap pelancongan domestik, kata Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA). – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2018.

EJEN pelancongan tempatan bimbang levi pelepasan pada kadar sehingga RM40 yang bakal dikuatkuasa tahun depan akan mengurangkan lagi ketibaan pelancong ke negara ini.

Ia juga tidak akan menghalang warga Malaysia daripada melancong ke luar negara, kata persatuan ini yang menyarankan kerajaan untuk mempromosi pakej lebih baik bagi pelancongan tempatan.

Menurut Persekutuan Persatuan Pelancongan Asean (FATA), negara Asean yang terjejas dengan levi tersebut mungkin akan mengambil tindakan sama dan mengurangkan ketibaan ke Malaysia.

Pengarah Eksekutifnya, Hamzah Rahmat berkata perkara itu perlu diambil kira kerana Malaysia sudahpun ketinggalan berbanding Thailand dan Singapura dalam sektor pelancongan.

“Malaysia perlu mempertimbangkan kesan dan reaksi dari negara lain juga. Jika rakyat Malaysia dihalang untuk melawat ke negara lain, mereka juga boleh lakukan perkara yang sama dan kesannya akan mengurangkan bilangan ketibaan pelancong (di Malaysia),” katanya.

Beliau mengulas levi pelepasan RM20 untuk ke destinasi Asean dan RM40 untuk destinasi luar negara lain kepada penumpang udara, yang akan dikuatkuasa bermula tahun depan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa pembentangan Belanjawan 2019 mengumumkan bahawa kadar itu jauh lebih rendah berbanding levi di negara seperti Thailand AS$20, Hong Kong (AS$15) dan Jepun (AS$10). 

Namun bagi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), levi tersebut tidak sepatutnya dibayar kerana membebankan pengguna.

Presidennya Tan Kok Liang penumpang penerbangan akan menanggung bayaran tambahan kerana sudahpun membayar cukai perkhidmatan untuk menggunakan kemudahan di lapangan terbang

“Tetapi keadaan kemudahan lapangan terbang masih tidak berubah,” katanya yang menambah pengguna juga sudah diwajibkan membayar caj perkhidmatan penumpang (PSC).

Sejak Januari tahun ini, kadar PSC untuk destinasi antarabangsa selain Asean ditetapkan pada kadar RM73 di KLIA2.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa pembentangan Belanjawan 2019 mengumumkan bahawa kadar levi pelepasan RM20 untuk ke destinasi Asean dan RM40 untuk destinasi luar negara lain kepada penumpang udara jauh lebih rendah berbanding levi di negara seperti Thailand AS$20, Hong Kong (AS$15) dan Jepun (AS$10). – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2018.

Tiada kesan positif pada pelancongan domestik

Tambah Tan lagi, levi baharu itu hanya akan menyekat pelacong dalam bajet yang terhad dan tidak akan memberikan sebarang kesan positif terhadap pelancongan domestik.

“Levi pelepasan tidak menghalang pelancong Malaysia yang telah merancang percutian impian mereka daripada terus melancong ke luar negara,” katanya.  

Beliau seterusnya menyarankan agar kerajaan menggunakan levi berkenaan untuk membangunkan pelancongan tempatan dengan menyediakan pakej dalam negara yang lebih menarik.

“Apa yang terbaik adalah kerajaan sepatutnya menggunakan levi pelepasan kepada (peruntukan) perkembangan pelancongan domestik,” katanya.

Penganalisis juga berpendapat, levi baharu itu akan memberi impak negatif kepada segmen penerbangan kos rendah yang berkembang pesat selama ini.

Penganalisis dari firma KRA Group, Amir Fareed Rahim berkata ia akan menyebabkan pengguna lebih sensitif terhadap kos.

“Aspirasi Malaysia menjadi hab penerbangan serantau yang kompetitif juga mungkin terbantut kerana levi juga dikenakan kepada penerbangan ke rantau Asean.

“Justeru, ini boleh dilihat sebagai perkembangan negatif kepada komitmen untuk mempertingkat keterhubungan dalam Asean,” katanya.

Amir bagaimanapun melihat levi berkenaan satu langkah yang menarik kerana mensasarkan golongan yang berkemampuan untuk ke luar negara dan kerap melancong.

“Langkah ini selain membawa pendapatan tambahan kepada negara, ia mampu menjana pertumbuhan sektor pelancongan domestik.

“Langkah ini mampu mendorong pelancong tempatan untuk memberi keutamaan kepada destinasi pelancongan domestik,” katanya yang berpendapat kadar yang ditetapkan itu berpatutan.

Penganalisis juga berpendapat, levi baharu itu akan memberi impak negatif kepada segmen penerbangan kos rendah yang berkembang pesat selama ini. – Gambar EPA, 5 November, 2018.

Levi mampu dibayar

Sementara itu, beberapa orang pengguna pengangkutan udara yang ditemui The Malaysian Insight juga bimbang ia akan membawa kesan positif terhadap perkembangan pelancongan domestik negara.

Bagi Farhana Fuad yang kerap berulang-alik ke Indonesia berkata ia tidak akan menjejaskan perjalanannya untuk ke luar negara memandangkan jumlah tersebut tidak membebankan.

Namun ia juga tidak akan membantu menarik pelancongan ke dalam negara, penulis web itu yang berharap kerajaan memperbanyakkan lokasi tarikan.

Eksekutif pemasaran, Nurul Najwaa Jaafar juga berpendapat kadar levi tersebut masih dikategorikan berpatutan dan mampu dibayar olehnya.

Lagi pula, pelancongan adalah satu kemewahan, lebih-lebih lagi untuk destinasi luar negara, katanya.

“Ia adalah satu pilihan yang mewah dan kadar RM20-40 adalah berpatutan. Lainlah kalau levi itu dikenakan dengan caj RM50 atau RM100 ke atas,” kata Nurul.

Perunding pemakanan Nur Dalila Rahmat, 28, turut senada dan berpendapat ia masih mampu ditanggung oleh pelancong yang mengutamakan bajet sepertinya.

“Saya tak kisah kalau RM20. Kalau benda yang saya minat (melancong), saya sanggup bayar. Lagipun saya tak ada komitmen bulanan,” katanya yang kerap melancong ke negara Asean itu.

“Tapi kalau saya rasa tak mampu, saya tak akan pergi melancong. Cuma kalau kadar levi tu tinggi, saya akan fikir banyak kali juga sebab tambang bukannya murah,” katanya. – 5 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen