'Madam' Rosmah periksa, Jho Low bayar rantai permata merah jambu


Rosmah yang diberi nama rahsia “the Madam” oleh Jho Low memeriksa rantai tersebut di sebuah hotel di New York pada 28 September 2013. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2018.

JABATAN Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengesahkan Rosmah Mansor memeriksa seutas rantai dengan permata merah jambu bersama suaminya, Malaysian Official 1 dan jutawan Jho Low pada 2013.

Perkara itu dinyatakan DoJ dalam satu kertas pertuduhan di Mahkamah Daerah Timur New York ke atas Jho Low dan juga pegawai bank didakwa terlibat dalam penggelapan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut kertas pertuduhan itu, Rosmah yang diberi nama rahsia “the Madam” oleh Jho Low memeriksa rantai tersebut di sebuah hotel di New York pada 28 September 2013.

“Kira-kira tiga minggu sebelumnya, rantai permata merah jambu itu dibeli dengan menggunakan kira-kira AS$27.3 juta, yang mana dihantar daripada sebuah syarikat kosong yang dimiliki dan dikawal oleh Low dan konco-koconnya yang lain,” kertas pertuduhan itu dipetik.

Dokumen yang difailkan itu juga menyebut, pada sekitar 10 Oktober 2014, seorang dinamakan “Co-Conspirator 1” dan individu lain memindahkan AS$4.1 juta kepada akaun bank seorang saudagar permata untuk “bayaran bagi barang kemas untuk isteri Malaysian Official 1”.

Dokumen itu adalah pertuduhan bersama ke atas Low dan Ng, yang juga dikenali sebagai Roger Ng, atas tuduhan berkonspirasi untuk mengubah wang haram berbilion dolar.

Wang berkenaan didakwa digelapkan dari 1MDB dan untuk membayar rasuah kepada pegawai Malaysia dan Abu Dhabi.

Ng ditahan di Malaysia pada Khamis dan Low yang masih lagi bebas pula yang menafikan tuduhan itu melalui jurucakapnya.

Butiran dalam tuduhan itu menyatakan Low, Ng dan “Co-Conspirator 1” merujuk isteri MO1 sebagai “the Madam”.

Low juga disebut mengatur pemindahan wang dari satu akaun sebuah syarikat di British Virgin Island yang dikawal oleh Co-Conspirator #1, untuk menyelesaikan “kek Madam”.

MO1 dinyatakan sebagai “seorang warga Malaysia dan pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia dan juga MOF (Kementerian Kewangan) sejak atau sekurang-kurangnya sekitar 2009 atau sehingga atau sekitar 2018, dengan kuasa peringkat tinggi untuk meluluskan keputusan perniagaan 1MDB.” – 2 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen