PAS desak siasatan rapi kekecohan forum ‘Nothing to Hide 2.0’


PAS mendesak satu siasatan rapi dilakukan terhadap kekecohan yang berlaku semasa forum "Nothing To Hide 2.0" di Shah Alam semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Ogos, 2017.

PAS mendesak satu siasatan rapi dilakukan terhadap kekecohan yang berlaku semasa forum “Nothing To Hide 2.0” di Shah Alam semalam.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku di negara demokrasi seperti Malaysia yang seharusnya membina budaya politik lebih matang.

“Politik cerca, maki hamun, fitnah dan provokasi sangat tidak sesuai dengan budaya dan iklim masyarakat Malaysia kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Forum “Nothing to Hide 2.0” anjuran Bersatu semalam yang padanya awalnya berjalan secara aman bertukar kecoh apabila ada peserta melemparkan selipar dan membaling suar ketika majlis sedang berlangsung.

Forum yang bermula pada jam 4 petang itu bertukar menjadi tidak terkawal ketika Dr Mahathir Mohamad sedang menjawab soalan peserta mengenai insiden Memali.

Tuan Ibrahim berkata pembinaan politik lebih matang perlu dilaksanakan di Malaysia.

“PAS mengajak seluruh pimpinan politik dan rakyat agar melakukan perubahan pendekatan politik yang lebih matang, selaras dengan perkembangan dan kemajuan negara,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri turut mengecam kejadian itu dan mengarahkan pihak polis mengambil tindakan yang sewajarnya.

Polis menahan tiga remaja berumur 17, 18 dan 19 yang disyaki mencetuskan kekacauan itu.

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan tiga remaja berkenaan ahli partinya, berdasarkan semakan rekod keahlian parti, dan mendakwa mereka diupah untuk menyamar sebagai ahli Bersatu.

“Persoalannya, jika mereka bukan ahli Bersatu, siapakah yang memperalatkan mereka untuk cubaan mencederakan Tun Mahathir?” soalnya. – 14 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen