Dapat bajet lebih, tapi Kementerian Kesihatan bergelut dapatkan bekalan ubat


Sheridan Mahavera Jason Santos Nabihah Hamid

Masalah kekurangan bekalan ubat di hospital kerajaan dikatakan bermula awal tahun ini dan memberi kesan kepada pesakit penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 Ogos, 2017.

PENINGKATAN pesakit dan masalah syarikat bekalan ubat adalah alasan mengapa Kementerian Kesihatan bergelut untuk memastikan bekalan ubat mencukupi di hospital kerajaan.

Pergelutan ini berlaku walaupun bajet kementerian ditambah sebanyak RM2 bilion dalam Bajet 2017 dari Kerajaan Persekutuan, kata Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Jeyaindran Sinnadurai.

Kementerian menerima RM24 bilion dari Putrajaya tahun ini, berbanding RM22 bilion pada 2016, kata Dr Jeyaindran, tetapi peningkatan itu tidak mencukupi untuk menangani jumlah pesakit yang turut meningkat, sebanyak 20-25% di seluruh hospital kerajaan.

Kesannya, bekalan ubat-ubatan kepada setiap pesakit terpaksa dihadkan bagi memastikan semua pesakit menerima ubat.

Catuan bekalan ubat ini memberi kesan kepada pesakit, terutamanya mereka yang menghidap penyakit seperti kolestrol tinggi, darah tinggi dan kencing manis.

Mereka merungut bekalan ubat yang selalunya diberikan untuk tempoh 30 hari kini dicatu dan hanya diberikan untuk tempoh 10-15 hari bermula awal tahun ini.

Bagaimanapun Dr Jeyaindran menegaskan yang masalah bekalan ini dijangka akan dapat diatasi dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi dan pesakit akan menerima peruntukan ubat untuk 30 hari seperti sebelum ini.

“Kami tak bernasib baik tahun ini. Kami minta dan terima duit lebih tetapi beban jumlah pesakit meningkat dan masalah dengan vendor berlaku pada masa yang sama,” kata Dr Jeyaindran kepada The Malaysian Insight.

“Tetapi kami sudah menyelesaikan masalah dengan vendor dan kami jangka akan mampu bekalkan bekalan (ubat) seperti biasa kepada pesakit dalam dua atau tiga minggu lagi.”

Penampan berkurangan

Sudah menjadi dasar semua hospital kerajaan untuk mempunyai bekalan ubat yang boleh bertahan selama dua hingga tiga bulan, kata Dr Jeyaindran, menambah yang tindakan itu adalah ‘ penampan’ mereka.

Penampan itu akan memastikan yang hospital boleh memberikan ubat kepada semua pesakit, seperti pesakit baru atau pesakit berulang walaupun bekalan ubat mempunyai masalah.

Tetapi dua isu yang berlaku tahun ini menjejaskan kemampuan hospital untuk mengekalkan kemampuan penampan itu.

Awal tahun ini, syarikat yang merupakan vendor utama kementerian mempunyai masalah dalaman dan tidak mampu membekalkan ubat-ubatan pada masa yang ditetapkan kepada semua hospital, katanya.

Selain masalah vendor, jumlah pesakit yang meningkat juga menyebabkan hospital kerajaan perlu mencatu bekalan ubat bagi memastikan semua pesakit menerima bekalan ubat mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 Ogos, 2017.

Bermula tahun ini juga, kementerian mula membekalkan ubat-ubatan kepada pesara kerajaan secara terus dan tidak lagi menggunakan pihak ketiga.

Ini bermakna pesara kerajaan perlu mendapatkan bekalan ubat mereka dari hospital kerajaan dan ini meningkatkan jumlah pesakit di hospital, kata Dr Jeyaindran.

Ketika semua ini berlaku, jumlah pesakit yang dahulunya menggunakan hospital swasta tetapi kini beralih arah kepada hospital kerajaan untuk menjimatkan wang turut bertambah, katanya lagi.

Peningkatan pesakit di semua hospital dan bekalan ubat yang terjejas memaksa hospital menggunakan stok penampan mereka dan mencatu bekalan ubat bagi memastikan semua pesakit menerima ubat yang diperlukan, katanya.

“Tetapi vendor kami sudah memaklumkan yang mereka sudah menyelesaikan masalah mereka dan penghantaran bekalan ubat akan berlaku seperti biasa tidak lama lagi. Jadi hospital kita sepatutnya akan mampu menambah simpanan ubat mereka.”

Pada masa sama, kementerian juga sudah memulakan tindakan penjimatan bagi mengoptimumkan perbelanjaannya seperti mengurangkan ujian dan rawatan yang tidak perlu, kata Dr Jeyaindran.

“Malah Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) sendiri menganggarkan 30% bajet penjagaan kesihatan digunakan untuk ujian dan siasatan kesihatan yang tidak perlu,” katanya. – 14 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen