Isu pelajar dan sekolah sukan: Pengajaran dari Coach Carter


DALAM seminggu dua ini, antara berita yang agak menggemparkan dan sensitif adalah mengenai perkembangan sekolah sukan dan dan pelajar yang ramai dikatakan ‘terjun ke laut’.

Bagi saya, sesuatu yang dikesali dan menyedihkan adalah kenyataan atau komen beberapa ahli akademik sukan yang menggesa pihak kerajaan menyediakan platform ‘kemahiran’ yang lain sebagai alternatif untuk membantu mereka yang tidak berjaya sebagai pemain dan/atau tidak berjaya menyambung pengajian ke peringkat pengajian tinggi.

Pada pendapat saya, pelajaran dan sukan hendaklah seiring. Kedua-dua adalah penting dan diperlukan, memandangkan asas falsafahnya adalah ‘minda yang sihat tubuh yang kuat’.

Kita perlu menjalankan aktiviti yang sihat atau beriadah supaya tubuh badan menjadi sihat dan kuat, serta melancarkan otak.

Dengan tubuh badan yang sihat dan minda yang kuat (InsyaAllah) seseorang mampu bermain atau bersukan dengan baik dan juga menerima pelajaran dan pembelajaran dengan mudah dan lancar.

Ketika saya sebagai pelajar, saya terpaksa berfikir untuk bermain atau belajar. Semasa saya bermain dalam sukan di peringkat dari sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi, saya bermain menggunakan tenaga dan kudrat, belajar memperbaiki kemahiran permainan dan menggunakan akal fikiran saya.

Ketika saya di dalam bilik darjah hingga ke dewan kuliah syarahan, saya turut menggunakan kemahiran otak untuk membolehkan saya lulus dalam pengajian. Dalam bidang pendidikan, kita mengenalinya sebagai kognitif (pemikiran), psikomotor (kemahiran) dan afektif (emosi). Ahli sukan harus menggabungkan ketiga-tiga domain ini untuk berjaya.

Saya bukanlah berstatus pemain hebat atau ‘superstar’ tetapi kehadiran saya sebagai pemain adalah ‘bonus’ dalam mana-mana pasukan yang saya mewakili. Saya juga bukanlah ahli sukan terkenal, namun pernah bermain bersama bintang bola sepak negara (sebagai contoh) dan saya belajar dari kelemahan saya ketika bermain menentang pasukan ‘bintang’.

Sungguhpun saya tidak berjaya menjadi pemain negeri mahupun kebangsaan, tetapi penglibatan dalam pelbagai jenis sukan mengimbangi pencapaian saya dalam pelajaran. Ini kerana saya (dan mungkin rakan sebaya saya juga) memilih untuk berjaya dalam bidang pelajaran. Sesungguhnya pelajaran adalah penting dalam hidup kita.

Baru-baru ini, saya secara tidak sengaja menonton satu filem di TV berjudul ‘Coach Carter’. Sebuah kisah mengenai Ken Carter (lakonan Samuel L.Jackson), iaitu seorang pengendali kedai sukan yang mengambil cabaran (dengan gaji yang tidak seberapa) melatih pasukan Richmond High Oilers, sebuah pasukan bola keranjang yang sering gagal malah tidak pernah memenangi sebarang kejohanan.

Carter juga merupakan bekas pelajar dan pemain bintang pasukan Sekolah Tinggi Richmond.  Beliau seorang yang berprinsip dan tegas dan percaya boleh mengubah kehidupan ahli pasukan tersebut terutamanya yang berketurunan Afrika-Amerika.

Carter meminta ahli pasukan tersebut memanggil beliau sebagai ‘sir (tuan)’ sebagai tanda hormat, menandatangani kontrak persetujuan dan perjanjian untuk mengekalkan pencapaian GPA 2.3, tidak ponteng kuliah, duduk di baris hadapan semasa kuliah serta memakai sut dan tali leher setiap kali ke perlawanan.

Peraturan yang ketat ini memberikan satu latihan fizikal membebankan kepada mereka yang lewat atau melanggar mana-mana peraturan yang direka untuk menjadikan mereka mampu serta boleh bersaing secara fizikal dan mental.

Ahli pasukan itu akhirnya berjaya dan mampu memberi respons kepada gaya dan cara jurulatih ini. Beliau berjaya memberi inspirasi agar mereka yakin dan percaya kepada diri sendiri sehingga berjaya memenangi perlawanan demi perlawanan.

Keadaan berjalan dengan baik pada mulanya, namun Carter mendapati pemain tidak akur dengan perjanjian kontrak terutamanya yang melibatkan pelajaran. Ramai yang gagal dalam ujian dan tidak hadir ke kuliah kerana terlalu gembira dan tidak menumpukan perhatian dalam pelajaran, sebaliknya asyik dengan keseronokan memenangi perlawanan.

Beliau mengambil tindakan untuk menutup ‘tempat latihan’ dan menegaskan bahawa pemain perlu memberi tumpuan juga perhatian kepada pelajaran. Tindakannya mendapat bantahan guru dan ibu bapa pemain. Tindakannya itu juga mendapat perhatian media.

Ibu bapa mendesak Carter meletak jawatan kerana mereka terlalu asyik menumpang kejayaan anak mereka dalam sukan. Bagi Carter, harapan dan visinya terhadap pemain ialah ‘satu kehidupan tidak akan berakhir dengan rangkaian kemenangan sahaja’. Beliau tahu kehidupan 80% anak muda di komuniti tempat beliau tinggal akan berakhir di penjara.

Jurulatih Carter mempamerkan diri sebagai seorang yang mempunyai moral, karismatik dan prinsip - menjadikannya satu daya yang menggerunkan dalam kehidupan remaja-remaja ini.

Bakat dan kemahiran seorang ahli sukan adalah satu anugerah dari Allah. Bagi mereka yang berminat dalam sukan, ketahuilah bahawa potensi dan bakat anda bukan hanya berdasarkan pencapaian dalam permainan dan sukan yang diceburi, tetapi juga dalam pelajaran. – 23 Oktober, 2018.

* Azizi Ahmad adalah pendidik dan USSA Master Trainer. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Menarik Cerita ni. Tak jemu menonton sekiranya memerlukan motivasi diri.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Hazlan Sani · Ulasan