Dengan siasatan jenayah, Peguam Negara tidak boleh nafi penemuan DoJ, kata aktivis


Melati A. Jalil

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali tidak dapat lagi menafikan penemuan yang dibuat DoJ dalam siasatan ke atas skandal 1MDB selepas siasatan jenayah berjalan. – Gambar The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2017.

PEGUAM Negara tidak boleh lagi menafikan penemuan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) sebagai bermotif dan bermotivasi politik berikutan siasatan jenayah dijalankan terhadap wang yang didakwa dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata kumpulan anti rasuah.

Pengarah Eksekutif Pemantau Anti Rasuah (C4) Cynthia Gabriel berkata, tindakan itu memang dinanti-nantikan kerana kecurian wang daripada syarikat itu sendiri pada dasarnya merupakan jenayah.

“Dan individu yang menjadi dalang kecurian ini perlu berdepan perbicaraan jenayah.

“Beliau (Peguam Negara) terikat dengan tugas untuk bekerjasama dan membantu menyelesaikan skandal rasuah terbesar ini  sebagaimana yang diwajibkan di bawah UNCAC,” katanya merujuk kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah.

DoJ secara rasminya pada Khamis berkata meminta Mahkamah Los Angeles untuk membekukan saman sivil untuk merampas aset yang diperoleh pembiaya Malaysia Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low, kerana meneruskannya akan menyebabkan “kesan yang buruk” terhadap liabilitinya untuk menjalankan siasatan jenayah.

Dalam saman sivilnya, DoJ mendakwa antara 2009 dan 2015, lebih AS$4.5 bilion wang milik 1MDB dipindahkan oleh pegawai tertinggi syarikat itu dan sekutunya.

Tahun lalu DoJ memfailkan saman sivil untuk merampas aset lebih AS$1 bilion yang dibeli menggunakan dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.

Setahun kemudian pada Jun, DoJ memfailkan satu agi saman untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.31 bilion) termasuk kapal layar Equanimity bernilai AS$165 juta milik Jho Low, rantai berlian bernilai AS$27.3 juta untuk isteri Malaysian Official No 1 (MO1) dan hak penyiaran rancangan komedi “Dumb and Dumber To” untuk yang dihasilkan syarikat produksi Red Granite milik anak tiri Najib, Riza Aziz.

The Malaysian Insight cuba menghubungi Apandi Ali berhubung tindakan DoJ itu namun beliau enggan mengulas.

Cynthia berkata walaupun “MO1” tidak dinamakan, individu itu perlu berdepan dengan siasatan jenayah membabitkan 1MDB dan jelaskan kepada rakyat.

Menteri Barisan Nasional Abdul Rahman Dahlan sebelum ini menyatakan MO1 adalah Perdana Menteri Najib Razak, bagamanapun menafikan sebarang salah laku.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata kes itu berkembang menjadi perkara yang lebih serius kerana pihak berkuasa AS melihat kes 1MDB dari sudut jenayah.

Katanya mereka yang tahu tentang aliran wang itu boleh ditahan untuk soal siasat, sebagaimana kes yang dikaitkan 1MDB di Singapura, di mana pegawai bank pelaburan Yeo Jiawei dijatuhkan hukuman penjara 4 setengah tahun kerana penggubahan wang haram.

“Semua yang terlibat, penjenayah boleh ditahan, Sekiranya mereka warganegara AS mereka boleh ditahan jika ia berasas, mereka boleh ditemui, disoal siasat, ditahan dan didakwa di mahkamah atas apa juga salah laku yang mereka lakukan.

“Bagi warga asing yang menjejakkan kaki ke AS, mereka juga boleh ditahan. Namun sekiranya berada di luar negara, mereka tertakluk kepada undang-undang antarabangsa. (AS) boleh bekerjasama dengan Interpol tetapi ia bergantung kepada sejauh mana pihak berkuasa AS cuba untuk mendapatkannya,” kata Paulsen dan menambah sekiranya bekerjasama dengan Interpol, notis amaran merah akan dikeluarkan.

Selain AS, pihak berkuasa di beberapa negara lai termasuk Singapura turut menyiasat kes membabitkan syarikat pelaburan Malaysia yang diasaskan perdana menteri Najib. – 11 Ogos, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen