Apa tunggu lagi, bawa kes 1MDB ke mahkamah, kata pemimpin Pakatan


Amin Iskandar Zulkifli Sulong

Pakatan Harapan mengadakan jelajah di seluruh negara untuk memberikan kefahaman kepada rakyat Malaysia mengenai skandal 1MDB yang akan menjejaskan hidup mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2017.

KERAJAAN harus memulakan tindakan jenayah berhubung penyelewengan dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tidak harus membiarkan kes itu hanya diambil tindakan oleh pihak lain di luar negara, kata pemimpin Pakatan Harapan.

Mereka mengulas tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) menggantung prosiding sivil untuk memulakan siasatan jenayah terhadap syarikat pelaburan itu.

Bekas ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff berkata kes 1MDB sememangnya ada asas jenayah sejak awal lagi dan tindakan sivil yang dimulakan oleh DoJ sejak lebih setahun lalu hanya proses awal untuk mendapatkan penghakiman mahkamah bagi menyita aset terlibat.

“Amat memalukan sistem keadilan jenayah negara kerana sehingga hari ini tiada tindakan diambil,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Yusmadi berkata sesuatu yang tidak lucu apabila di Malaysia pihak berwajib mengatakan skandal 1MDB tidak perlu diambil apa-apa tindakan.

Media hari ini melaporkan AS memulakan siasatan jenayah terhadap wang yang didakwa dicuri dari 1MDB dan menangguhkan tindakan sivil yang difailkan dua tahun lalu bagi merampas hartanah dan pelbagai aset lain bernilai lebih AS$1 bilion.

Menurut Bloomberg, pegawai DoJ memohon kepada hakim di Los Angeles untuk menangguhkan prosiding sivil terhadap semua aset berkenaan yang diperoleh oleh ahli kewangan rakyat Malaysia Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low, kerana mengeruskannya mungkin akan “menjejaskan” kemampuannya mengendalikan siasatan jenayah itu.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata skandal 1MDB yang kini disiasat di peringkat antarabangsa adalah sebab mengapa PH mengadakan siri jelajah ke seluruh negara.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, rakyat Malaysia di seluruh negara seharusnya diberikan kefahaman mengenai skandal yang akan menjejaskan hidup mereka.

“Sekarang pendakwaan terhadap 1MDB nampaknya akan jadi lebih buruk selepas ia melibatkan kesalahan jenayah.

“Jika kami berjaya menawan Putrajaya, PH akan memastikan wang dan aset yang dicuri didapatkan semula dan mendakwa pihak yang bertanggungjawab,” kata Nurul Izzah.

“Ini kerana wang yang dicuri melalui 1MDB akhirnya akan menambahkan beban rakyat dengan cukai seperti GST.”

Sementara itu, Ketua Biro Dasar dan Strategi Bersatu Dr Rais Hussin berkata tindakan terbaru AS itu adalah sesuatu yang sangat memalukan Malaysia.

“Sistem kehakiman di AS sangat bebas dalam kes yang tidak melibatkan keganasan.

“Presiden Donald Trump juga sedang ‘belajar dengan cara susah’ yang Rumah Putih juga tidak kebal daripada siasatan persekutuan,” katanya.

Rais berkata siasatan jenayah terhadap 1MDB sudah tentu akan menyebabkan “pelaku jenayah” yang sekarang ini berselindung di sebalik “daulah” di Malaysia ke muka pengadilan.

“Apabila tiada pesalah dalam skandal 1MDB ditahan atau disiasat secara serius di negara di mana kesalahan itu mula dilakukan, ia memperlihatkan kelumpuhan institusi demokratik mereka.

“Kebanyakan daripada mereka sekarang hilang atau sedang lari, sesetengahnya sedang belayar di lautan,” katanya. – 11 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen