Pejabat Mokhzani Mahathir diserbu LHDN


Amin Iskandar

Pejabat Mokhzani Mahathir dilaporkan diserbu pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri semalam. – Gambar Facebook, 9 Ogos, 2017.

PEJABAT Mokhzani Mahathir, anak kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad, diserbu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kata sumber.

Sumber yang dekat dengan bekas perdana menteri itu berkata, serbuan dilakukan LHDN semalam ke pejabat Mokhzani.

“Saya difahamkan, LHDN menyerbu pejabat anak lelaki Dr Mahathir semalam,” kata sumber kepada The Malaysian Insight dengan syarat tidak dinamakan.

Percubaan The Malaysian Insight untuk mendapatkan pengesahan Mokhzani dan LHDN masih belum berjaya.

Difahamkan, syarikat Mokhzani yang dimaksudkan ialah Kencana Capital Sdn Bhd.

Sumber berkata ketika serbuan dilakukan, Mokhzani tidak berada di Malaysia.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kekayaan Dr Mahathir dan anaknya.

Gesaan itu dilakukan selepas Dr Mahathir mendakwa Zahid mempunyai RM230 juta pada 1996 apabila mengisytiharkan hartanya selepas dilantik menjadi ketua Pemuda Umno.

Bagaimanapun Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki berkata pada Selasa mereka akan meneliti dakwaan terhadap Zahid dan Dr Mahathir sebelum memulakan siasatan.

Dr Mahathir sebelum ini pernah mendakwa sejak tahun lalu, rakan dan keluarganya menjadi sasaran LHDN selepas beliau melawan Perdana Menteri Najib Razak.

Dr Mahathir memberikan contoh bagaimana Pengasas Country Heights Lee Kim Yew terus menerus diganggu LHDN.

Dalam senarai Forbes 2017, Mokhzani disenaraikan dalam 50 orang terkaya di Malaysia dengan kekayaan sebanyak RM1.8 bilion. – 9 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen