Ekonomi pesat tumbuh, tapi rakyat tak terasa kesannya


Sheridan Mahavera

Dr Muhammed Abdul Khalid menyifatkan rakyat Malaysia tidak mampu merasai manfaat faedah pembangunan ekonomi kini disebabkan oleh kesenjangan upah yang semakin meluas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Ogos, 2017.

KERAJAAN mengatakan ekonomi bertumbuh lebih daripada 5% untuk suku pertama 2017 dan situasi ini perlu diraikan.

Pada masa yang sama, jurang antara keluarga terkaya dan termiskin negara ini semakin merapat, bermaksud yang situasi rakyat Malaysia hari ini lebih baik berbanding situasi 10 tahun lepas.

Tetapi realitinya, trend itu tidak membantu kebanyakkan rakyat Malaysia berdepan dengan peningkatan kos sara hidup, kata ahli ekonomi dan penulis Dr Muhammed Abdul Khalid.

Realitinya ketika ekonomi sedang berkembang, kesenjangan atau jurang upah antara rakyat Malaysia terkaya dan pekerja biasa masih kekal luas, kata Muhammed.

Kesenjangan aset seperti perbezaan antara mereka yang memiliki hartanah dan instrumen kewangan juga meluas, kata Muhammed, penulis buku “Antara Dua Darjat- Agihan Pendapatan di Malaysia” yang diterbitkan pada 2014 dan mendapat sambutan menggalakkan.

Kesenjangan dalam upah dan aset disebabkan dasar buruh dan fiskal yang lebih banyak memanfaatkan pemilik kapital berbanding pekerja biasa, katanya.

“Jadi walaupun kebanyakkan berita tentang ekonomi adalah berita baik, masih ada persepsi dalam kalangan pekerja biasa di Malaysia, yang mereka tidak merasakan faedahnya,” kata Dr Muhammed kepada The Malaysian Insight.

Menurut Unit Perancang Ekonomi (EPU), kesenjangan pendapatan isi rumah diukur menggunakan pekali Gini, jatuh daripada 0.44 pada 2007 kepada 0.40 pada 2014.

Semakin hampir kepada 0 bermaksud kesenjangan berkurangan dan menghampiri 1 bermaksud kesenjangan bertambah.

Tetapi Muhammed berkata trend ini menyembunyikan kesenjangan upah. Angka tersebut hanya mengukur jumlah keseluruhan pendapatan isi rumah, yang boleh meliputi upah dan bantuan seperti Skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Perbezaan kesenjangan dalam simpangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) antara mereka yang bergaji tinggi serta kumpulan bergaji sederhana dan rendah pula meningkat dari 0.658 pada 2014 kepada 0.652 pada 2009, katanya.

Memandangkan sumbangan dan kadar dividen untuk semua tahap upah diselaraskan, kesenjangan dalam simpanan KWSP berpunca daripada kesenjangan upah.

Menyentuh aset seperti unit saham amanah misalnya Amanah Saham Bumiputera (ASB), kesenjangan semakin ketara.

“Pekali Gini untuk pegangan ASB pada 2014 adalah 0.836, jauh lebih tinggi berbanding 0.658 untuk KWSP, dan 0.401 untuk pendapatan isi rumah,” katanya.

Pada 2014, laporan tahunan ASB menunjukkan 72% kelompok terbawah pemegang unit ASB mempunyai simpanan purata RM536 dalam akaun mereka. Tetapi kelompok 0.2% pemegang unit pula mempunyai purata simpanan sebanyak RM745,038 dalam akaun mereka.

“Dalam jangka pangkang, aset jauh lebih penting berbanding pendapatan kerana ia boleh dipindahkan daripada ibu bapa kepada anak mereka dan mewujudkan kelebihan kepada anak mereka untuk mendaki tangga sosial (mobiliti sosial),” katanya.

Muhammed berkata perubahan struktur diperlukan untuk menangani kesenjangan ini dan ia termasuklah perubahan kepada dasar buruh, fiskal dan pendidikan.

Misalnya, pada masa kini, pendapatan persendirian dikenakan cukai tetapi tidak wujud cukai yang dikenakan kepada pendapatan yang diraih melalui penjualan hartanah dan pegangan saham, katanya.

“Kita laksanakan cukai untuk pendapatan dan kepenggunaan seperti GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) di mana semua orang dicukai. Tetapi kita tak kutip cukai pendapatan antara mereka yang miskin, pekerja biasa dan mereka yang kaya secara saksama.”

Dan apabila ekonomi merudum, kerajaan mula mengurangkan subsidi dan perkhidmatan sosial yang selama ini memberi manfaat kepada kelompok miskin.

“Tetapi ini tidak produktif untuk mengalakkan pertumbuhan ekonomi, kerana kelompok miskin secara umumnya membelanjakan pendapatan mereka dengan lebih banyak, yang melonjakkan penggunaan persendirian yang juga merupakan punca pertumbuhan (ekonomi). Sebaliknya, kelompok kaya pula cenderung menyimpan duit mereka,” katanya. – 9 Ogos, 2017.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen