Pakatan gesa Arul Kanda jawab soalan 1MDB di Parlimen


Melati A. Jalil

Pakatan Harapan mendesak Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy menjawab soalan berhubung syarikat itu di Parlimen esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2017.

PAKATAN Harapan hari ini mendesak Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy menjawab soalan berhubung syarikat pelaburan sarat hutang itu di Parlimen esok, selepas beliau menghadiri perbincangan meja bulat dengan PAS malam tadi.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata Arul diperlukan untuk membersihkan nama baik Malaysia.

“Dia boleh minta kebenaran perdana menteri dulu, tetapi saya gesa Arul Kanda memberikan penjelasan pada setiap ahli Parlimen tanpa rasa takut.

“PKR, DAP dan Pakatan Harapan sedia berjumpa dengannya walaupun ia mesyuarat tertutup,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata pihaknya kecewa dengan kegagalan Arul Kanda berjumpa pembangkang sebelum ini ketika diminta mengadakan dialog atau debat mengenai 1MDB.

“Saya tidak mahu mengandaikan apa soalan ditanya semalam. Bagi saya dan pemimpin PH lain termasuk Muhyiddin dan Dr Mahathir, kami ada banyak soalan seperti bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

“Tarikh akhirnya lima hari lalu tetapi sampai sekarang tidak ada berita bagaimana bayaran akan dibuat. Adakah kerajaan akan menyelamatkan 1MDB sekali lagi,” katanya merujuk kepada pemimpin Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad.

PAS semalam berkata parti itu berpuas hati dengan penjelasan Arul Kanda mengenai pelan rasionalisasi hutang 1MDB, berharap tidak ada campur tangan politik untuk membolehkan perkara itu diselesaikan tanpa membebankan rakyat.

Katanya, inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai 1MDB disusuli dengan tindakan keras terhadap pesalah menjadi satu-satunya cara mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Pada 1 Ogos, 1MDB berkata kesemua bayaran kepada IPIC itu akan menggunakan wang yang dikumpul menerusi pelan rasionalisasi 1MDB. Laporan sebelum ini menyatakan pembayaran AS$602.7 juta (RM2.6 bilion) daripada 1MDB kepada IPIC adalah sebahagian daripada penyelesaian hutang.

Syarikat pelaburan Abu Dhabi, Mubadala berkata pihaknya belum menerima maklumat daripada bank berhubung kelewatan bayaran daripada 1MDB berikutan tarikh berakhir 31 Julai.

Sementara itu, kira-kira 20 pemimpin PH diketuai presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendesak siasatan baharu terhadap 1MDB dilakukan berdasarkan kepada dokumen rasmi mahkamah dalam saman Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat yang terkini.

Memorandum itu diserahkan kepada Ketua Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Muhamad Zakuan Halim.

PH dalam satu kenyataan berkata ganjil apabila jenayah yang cukup besar didakwa boleh berlaku di negara asing tetapi tiada sebarang dakwaan di mahkamah negara sendiri.

PH berkata bersama memorandum itu, mereka lampirkan dokumen rasmi kes saman DoJ yang mendakwa AS$4.5 bilion diselewengkan dari 1MDB melalui pengubahan wang haram yang mengguna institusi kewangan dan bank antarabangsa. – 8 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen