Perkahwinan bawah umur: Adakah penyelesaian terbaik?


Najjua Zulkefli

LAPORAN Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia pada 9 Mac tahun lalu mendedahkan seramai 1,856 kanak-kanak bawah umur 18 tahun berkahwin pada 2018.

Menurut laporan tersebut, sebanyak 90% perkahwinan bawah umur di Malaysia membabitkan  kanak-kanak perempuan, dan 83% adalah beragama Islam.

Isu perkahwinan bawah umur sering diperdebatkan di Kelantan yang ditadbir oleh PAS terutama apabila kerajaan negeri tidak bersetuju menaikkan had pindaan umur remaja perempuan kepada 18 tahun.

Kelantan adalah antara negeri yang tidak setuju menaikkan had umur berkahwin selain Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, dan Kedah. Setakat ini hanya Selangor yang meluluskan pindaan enakmen berkenaan.

Perkahwinan kanak-kanak merujuk kepada sebarang perkahwinan rasmi atau tidak rasmi antara kanak-kanak bawah umur 18 tahun dengan orang dewasa atau kanak-kanak lain.

Menurut kajian Unicef, masalah sosial, kemiskinan, hamil luar nikah dan keciciran pendidikan adalah antara faktor yang dikenal pasti sebagai punca perkahwinan bawah umur. 

Kajian Unicef juga menyebut kanak-kanak perempuan yang berkahwin pada usia terlalu muda lebih cenderung mengalami keganasan rumah tangga dan cenderung untuk tidak bersekolah. 

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada Mac lalu berkata ia sentiasa memberikan komitmen tinggi untuk menangani perkahwinan bawah umur ini demi kepentingan kanak-kanak terbabit, termasuk dalam aspek perlindungan dan kebajikan mereka. 

Menterinya Rina Harun berkata, komitmen itu juga selaras dengan usaha kementerian membangunkan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur yang dilaksanakan sejak 2020 hingga 2025. – 12 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen