Pusat kuarantin Covid-19 percuma untuk golongan kurang mampu


Afif Abd Halim

HOTEL Travelodge City Centre di Jalan Hang Kasturi ditukarkan kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Menerima pesakit Covid-19 Kategori 1 dan 2 dari kumpulan B40, PKRC ini ditaja sepenuhnya oleh Crisis Relief Services and Training Bhd (Crest Malaysia).

Pusat berkenaan yang mula beroperasi pada 7 Ogos, akan merawat pesakit Covid-19 selama 10 hari secara percuma, berdasarkan arahan Kementerian Kesihatan.

Apabila pesakit datang untuk mendaftar, mereka hanya perlu membawa keputusan ujian Polymerase Chain Reaction (RT-PCR), surat rujukan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), kad pengenalan dan deposit sebanyak RM100 (yang akan dikembalikan).

Permintaan makanan khas atas sebab agama dan kesihatan boleh diatur lebih awal berdasarkan ketersediaan. Bagaimanapun tiada perkhidmatan penghantaran makanan oleh GrabFood, FoodPanda atau ahli keluarga dibenarkan di pusat ini.

Terdapat juga petugas kesihatan yang akan memantau pesakit 24 jam. Tiada pelawat dibenarkan. Tiada penghantaran barangan dibenarkan sebaik sahaja pesakit mula mendaftar masuk, kecuali atas sebab kesihatan. Malah pesakit juga tidak dibenarkan keluar daripada bilik, kecuali atas kebenaran petugas.

Pesakit juga dinasihat agar membawa pakaian untuk 10 hari, termasuk peralatan penjagaan kebersihan peribadi, sabun cuci pakaian dan mandi dan juga tuala.

Mereka juga perlu membawa ubat-ubatan atau alat perubatan, termasuk pelitup muka dan pensanitasi tangan. Pesakit juga perlu membawa telefon bimbit dan akat pengcas serta makanan ringan dan biskut.

Bagaimanapun, pesakit dilarang membawa rokok, rokok elektronik, pemetik api dan cecair pemetik api serta alkohol ke premis ini. Barangan bahay alian seperti senjata, barangan tajam, atau haiwan peliharaan juga tidak dibenarkan. Beg pesakit akan diperiksa semasa pendaftaran dan pihak pengurusan akan merampas barangan ini jika ditemui. – 25 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen