Potret kem pelarian Rohingya di Bangladesh


Mahen Bala

SEJAK keganasan tercetus lagi di Rakhine pada 25 Ogos lalu, lebih 500,000 pelarian Rohingya kini menyeberangi sempadan Bangladesh-Myanmar untuk mencari perlindungan di kem Cox’s Bazar.

Kem pelarian itu terlalu sarat hingga menyebabkan sesetengah pelarian terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara yang baru termasuk di Kutupalong, Balukhali, Tengkhali dan Nayapara di mana pondok dibina menggunakan buluh dan plastik.

Keganasan yang berlarutan antara masyarakat Rohingya dan tentera Myanmar di Rakhine mendorong mereka melarikan diri meskipun tahu risikonya tinggi dan bergadai nyawa untuk menyeberangi sempadan.

Kejadian bot terbalik malam tadi yang mengorbankan sekurang-kurangnya 14 Rohingya termasuk kanak-kanak mati lemas adalah antara risiko terpaksa dihadapi pelarian. Bila tiba di kem pelarian pun, kehidupan bukannya selesa untuk mereka.

Seluruh dunia bercakap dan mempertahankan Rohingya, dengan pelbagai pertubuhan dunia mendesak Myanmar supaya membenarkan bantuan kemanusiaan dihantar kepada Rohingya.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut menggesa Kesatuan Eropah (EU) dan agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan tegas untuk meringankan penderitaan rakyat Rohingya.

Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina juga mencadangkan pembentukan zon selamat yang dipantau PBB di Myanmar untuk melindungi etnik Rohingya.

PBB menggambarkan operasi tentera sebagai “pembersihan etnik” dan Presiden Perancis Emmanuel Marcon, pula menyifatkan ia sebagai genosid (penghapusan bangsa).

Tetapi, pemimpin de-facto Myanmar, Aung San Suu Kyi mendakwa krisis itu diputarbelitkan dengan maklumat yang tidak benar. Pemenang anugerah Nobel itu meminta dunia fahami Myanmar dan akan menyiasat pembantaian yang berlaku terhadap Rohingya.

Biarlah gambar berbicara tentang penderitaan umat Islam Rohingya yang terbuang, terabai dan hidup tanpa negara. – 29 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen