Cameron Highlands jadi kubur Land Rover buruk


Najjua Zulkefli

CAMERON Highlands, kawasan tanah tinggi di Malaysia yang terkenal dengan ladang teh, adalah tempat ribuan Land Rover yang dicat dengan huruf besar “CH” di pintu atau bonet mereka. Ia digunakan sejak sekian lama untuk kegiatan pertanian di situ.

Di kawasan berbukit ini, Land Rover adalah kenderaan pilihan utama kalangan petani Cameron Highlands untuk membawa muatan buah-buahan dan sayur-sayuran ke pasaran.

Peraturan cukai membolehkan petani tempatan mendapat potongan sebanyak 90% dengan syarat kenderaan itu mesti digunakan untuk tujuan pertanian dan tidak dibenarkan meninggalkan Cameron Highlands. Kebanyakan kenderaan lama ini adalah tinggalan British selepas Perang Dunia II.

Disebabkan ketiadaan bengkel khas Land Rover di Cameron Highlands, penduduk tempatan mengambil apa yang diperlukan dari bangkai kenderaan terbiar lain di sepanjang jalan untuk membolehkan Land Rover mereka terus bergerak.

Jadi, apa yang berlaku apabila salah satu daripada kenderaan ini tidak lagi mampu berfungsi? Pemiliknya hanya meninggalkan ia di mana ia terhenti bersama alam semulajadi, dibiarkan selepas bertahun-tahun bekerja keras.

Pemandangan ini mengingatkan kita kepada kubur gajah misteri di Afrika, dengan Land Rover lama terbiar mereput di Cameron Highlands. – 19 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen