Dua beradik di Sarawak maut akibat penyakit anjing gila


Bede Hong

DUA beradik berusia empat dan enam tahun meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) hari ini selepas mengalami simptom penyakit anjing gila.

Kanak-kanak perempuan dan adik lelakinya dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian itu diumumkan meninggal dunia pada jam 1.43 petang dan 1.46 petang hari ini.

Ibu bapa mereka bersetuju untuk menghentikan bantuan pernafasan selepas dua beradik itu didiagnosis mati otak, kata Menteri Kerajaan Tempatan Dr Sim Kui Hian.

Mangsa ketiga, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, masih diberi bantuan pernafasan dan dikategorikan sebagai kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu, kata Sim dalam satu kenyataan hari ini.

Sim, yang sedang membuat tinjauan untuk Jabatan Kesihatan Sarawak berkata, sebanyak 11 pasukan kesihatan terus mencari pesakit yang berkemungkinan dijangkiti di 19 buah kampung di Serian.

Seramai 6,094 orang daripada 2,098 rumah dikaji semula untuk virus anjing gila.

Sejak 1 April, terdapat sejumlah 68 kes gigitan anjing di Serian.

Kerajaan Sarawak hari ini mengisytiharkan lima kampung di daerah Serian dijangkiti virus anjing gila iaitu Kampung Kerait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paun Rimu Bakung, Kampung Remun dan Kampung Lebor.

Jabatan itu menasihatkan ibu bapa untuk menjaga anak-anak  di dalam rumah dan mengikat anjing peliharaan mereka.

“Sekiranya anda digigit anjing, pastikan luka dibasuh dengan air dan sabun dengan serta-merta dan segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk rawatan lanjut,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat melalui Hotline Sarawak SHD di 082-443248 / 082-441780,  setiap hari dari 8 pagi hingga 5 petang. –  4 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen