Hapuskan parti politik berasaskan kaum dan agama


Looi Sue-Chern

SEJAK enam dekad negara mencapai kemerdekaan, sudah tiba masanya Malaysia menghapuskan politik berasaskan sesuatu kaum dan agama.

Itulah satu-satunya cara untuk bergerak ke depan, kata Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata ini adalah satu perkara yang Pakatan Harapan (PH) perlu dilakukan jika pakatan pembangkang memenangi kerajaan persekutuan.

“Saya mencadangkan kita memastikan tiada lagi parti politik yang berasaskan kaum dan  agama.

“Jika kita boleh berbuat demikian, kita akan berjaya membawa perubahan besar kepada Malaysia,” katanya pada forum awam Reformasi Pilihan Raya PRU14 anjuran Bersih 2.0 Wilayah Utara di Kompleks Masyarakat Penyayang, Pulau Pinang malam tadi.

Cadangan beliau mendapat tepukan kira-kira 50 yang menghadiri forum dua jam itu, turut menampilkan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan aktivis sosial Karen Lai.

Akademik sains politik itu berkata, beliau berjuang untuk parti pelbagai kaum sejak bertahun lamanya. Walaupun parti yang disertai kini dan sebelumnya  – Amanah dan PAS – terbuka kepada kaum lain, mereka bertanding atas platform politik Islam.

“Amanah menyatakan sesiapa sahaja boleh menjadi ahli. Pada masa akan datang, semua parti yang mahu didaftarkan, mesti memastikan keahliannya terbuka kepada semua kaum.

“RoS (Pendaftar Pertubuhan) perlu melakukan sesuatu mengenainya,” katanya ketika diminta mengulas lanjut selepas forum.

Ahli Parlimen Parit Buntar yang terkenal dengan kegiatan antara agama dan lawatan ke gereja semasa bersama PAS, berkata parti berasaskan kaum akhirnya akan menggunakan kaum sebagai ideologinya.

“Adalah baik menjadi Melayu atau apa sahaja. Itu tidak salah. Tetapi menginstitusikannya dan menjadikan ia ideologi adalah berbahaya,” katanya.

Mujahid membangkitkan isu itu apabila beliau mengaitkan kepada penonton bagaimana rang undang-undang dirangka Majlis Perundingan Perpaduan Negara Dewan Rakyat yang dibubarkan ditolak parti pemerintah.

Mujahid mempengerusikan majlis itu. Ia termasuk Rang Undang-Undang Jenayah Kebencian Kaum dan Agama, yang menjenayahkan ucapan kebencian dan Rang Undang-Undang Keharmonian dan Perdamaian Nasional yang mengharamkan diskriminasi.

“Perdana menteri okay dengan rang undang-undang, tetapi terdapat tekanan daripada pihak lain, termasuk partinya, Umno. Mereka tidak dapat menerima ucapan anti-kebencian dan undang-undang diskriminasi anti-perkauman,” katanya.

Mujahid menjawab soalan daripada penonton tentang bagaimana PH akan menangani isu-isu seperti keharmonian antara kaum.

“Kadang-kala, isunya bukan perkauman, tetapi di Malaysia kita menjadikan ia demikian. Apabila terdapat kemalangan, soalan pertama yang kita tanya ialah bangsa mangsa,” katanya dan disahut ketawa beberapa penonton yang bersetuju.

Semasa forum itu yang menarik penonton pelbagai peringkat umur, Mujahid berbicara mengenai bagaimana membawa perubahan yang bermakna melalui pembaharuan struktur untuk meningkatkan peranan institusi kebangsaan dan memulihkan kebebasan mereka.

Beliau juga berkata perubahan mesti dibuat kepada sistem mengenai pembiayaan untuk parti politik.

“Kami tidak mempunyai sistem pembiayaan saksama bagi parti politik. Apabila ahli politik perlu mencara dana mereka sendiri, apakah sesiapa sahaja boleh menahan diri daripada terdorong untuk menerima pembiayaan politik? Sistem ini mewujudkan pesalah,” katanya.

Beliau juga melahirkan kebimbangan mengenai pemimpin parti, yang berpotensi menjadi pemimpin kerajaan, dipilih berdasarkan politik wang, dan mencadangkan ahli politik yang bertanding untuk jawatan mesti melibatkan diri dalam perbahasan terbuka dan dinilai berdasarkan polisi mereka.

“Kita tidak mempunyai debat terbuka dalam Barisan Nasional (BN) atau PH. Mengapa kita tidak boleh mempunyai undang-undang yang memaksa calon berdebat, supaya kita boleh mengelakkan politik wang?” katanya, sambil menambah rakyat juga berpeluang mendengar dan menilai calon itu.

Maria juga berkata perlu ada undang-undang untuk memantau pembiayaan politik bagi parti, bukan sahaja menyiasat latar belakang dan rekod calon sebelum mereka dibenarkan bertanding dalam pilihan raya.

Beliau berkata terdapat “rasuah politik” di kedua-dua pihak, dengan pembayaran, kenduri dan hamper percuma untuk rakyat.

Sementara itu, Lai berkata meningkatkan perwakilan wanita dalam politik dengan mewujudkan kerusi tambahan bagi wanita sahaja, akan meningkatkan jumlah kerusi dalam Dewan Undangan sesebuah negeri.

“Langkah itu akan memberi perwakilan lebih baik kepada wanita dan kumpulan minoriti yang lain,” katanya, sambil menambah terdapat peruntukan dalam Perlembagaan Sabah yang akan membenarkan itu.

“Bagi Pulau Pinang, kita perlu meminda Perlembagaan negeri,” katanya.

Pengerusi Bersih 2.0 Wilayah Utara Dr Toh Kin Woon menjadir moderator forum. – 24 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen