Ahli Parlimen Machang tarik sokongan, Perikatan tinggal 110 kerusi


AHLI Parlimen Machang dari Barisan Nasional (BN) Ahmad Jazlan Yaakub menarik sokongannya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Keputusannya itu sekali gus mengurangkan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada 110 ahli Parlimen.

Majoriti mudah di 222 kerusi Parlimen adalah 112 kerusi.

Pengerusi Umno Kelantan itu mengumumkan keputusan tersebut pada satu sidang media di Kota Bharu hari ini.

Katanya beliau akan memaklumkan kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkenaan keputusannya itu.

Ahmad Jazlan berkata keputusannya itu dibuat atas dasar memegang prinsip parti dan maruah BN.

“Dengan ini saya mengumumkan untuk menarik semula sokongan kepada kerajaan PN yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin,” katanya.

Pada 6 Januari lalu, Ahmad Jazlan mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkuat kuasa serta-merta.

Beliau menjelaskan sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada Isnin.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada menteri di atas kepercayaan yang telah diberikan sepanjang beliau berkhidmat sebagai Pengerusi MPOB.

“Saya juga menghargai segala kerjasama yang telah diberikan oleh ahli lembaga, pengurusan dan seluruh warga MPOB di sepanjang perkhidmatan saya bersama agensi ini.

“Saya doakan semoga MPOB terus maju dan berdaya saing dengan membantu rakyat yang terlibat dengan komoditi sawit termasuk pemegang taruhnya,
” katanya dalam satu kenyataan. – 9 Januari, 2021.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen