Jangan kongkong kebebasan akhbar, kata G25


Melati A. Jalil

Ahli pengasas G25, Mohd Sheriff Kassim berkata media perlu dibenarkan melaporkan dengan bebas dan sudah sampai masanya kerajaan menyedari kebebasan maklumat dan perdebatan terbuka adalah kunci kepada demokrasi dan ekonomi yang sihat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2017.

AKHBAR tidak sewajarnya dikongkong kata ahli pengasas G25, Mohd Sheriff Kassim, susulan gesaan perwakilan Umno terhadap kerajaan agar menyiasat The Malaysian Insight kerana didakwa menghina Perdana Menteri Najib Razak.

Sheriff berkata media perlu dibenarkan melaporkan dengan bebas, dan sudah sampai masanya kerajaan menyedari kebebasan maklumat dan perdebatan terbuka adalah kunci kepada demokrasi dan ekonomi yang sihat.

“Jika anda menghalang media daripada menyatakan pandangan, orang ramai akan menderita kerana mereka tidak akan mempunyai akses kepada maklumat.

“Itulah yang sering membawa kepada penyalahgunaan kuasa, rasuah dan ketidakadilan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran laporan G25, “Invigorating Economic Confidence in Malaysia” hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai gesaan yang dibuat oleh perwakilan Umno Pulau Pinang Mohd Nashrol Hisham Abdullah pada perhimpunan agung parti itu hari ini.

Nashrol membuat gesaan tersebut ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno ke -71 hari ini.

Semalam, perwakilan Johor, Haliza Abdullah turut membuat gesaan yang sama dalam perbahasannya.

Terdahulu, Nashrol berkata kepada ahli Umno akar umbi bahawa serangan terhadap presiden parti tidak harus dibiarkan berterusan.

Namun, perwakilan itu tidak menjelaskan secara terperinci artikel mana yang didakwa menghina Najib.

Malah, tiada sebarang aduan yang dibuat ke atas The Malaysian Insight terhadap tuduhan tersebut.

Nashrol dalam ucapannya turut mendakwa The Malaysia Insight dimiliki oleh Faridah Begum.

Faridah merupakan kakak pengarang dan pengarah pengurusan The Malaysian Insight, Jahabar Sadiq.

Faridah juga merupakan isteri kepada Peguam Negara Mohamed Apandi Ali. – 9 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen