Peguam negara tidak boleh pegang 2 tugas, kata G25


Melati A. Jalil

G25 turut mencadangkan agar peguam negara dilantik atau ditamatkan perkhidmatannya oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat suruhanjaya bebas melalui proses yang telus, bertanggungjawab dan berdasarkan merit. – Gambar fail EPA, 9 Disember, 2017.

AMALAN semasa yang menyaksikan peguam negara menjalankan dua peranan, sebagai pendakwa raya dan penasihat undang-undang kepada kerajaan, mencetuskan masalah akauntabiliti, kata kumpulan pesara kakitangan awam kanan Malaysia, G25.

Justeru, ia menggesa dua peranan berkenaan dipisahkan kerana ia menghalang pendakwaan kes-kes korupsi yang melibatkan pegawai kerajaan.

“Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 376 Kanun Prosedur Jenayah perlu dipinda bagi mentakrifkan semula fungsi peguam negara, dan menubuhkan pejabat bebas Jabatan Peguam Negara (DPP),” katanya dalam laporan “Invigorating Economic Confidence in Malaysia” yang dikeluarkan hari ini.

Kumpulan itu berkata pemisahan kedua-dua peranan itu akan mengelakkan konflik kepentingan dan suspek atau persepsi gangguan politik dalam fungsi pendakwaan peguam negara.

Kumpulan itu juga mencadangkan agar peguam negara dilantik atau ditamatkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat suruhanjaya bebas melalui proses yang telus, bertanggungjawab dan berdasarkan merit.

“Begitu juga, untuk menjamin kebebasan DPP dalam melaksanakan fungsinya, pelantikan atau penamatan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan berdasarkan nasihat suruhanjaya bebas yang sama dengan menggunakan proses yang sama berdasarkan prinsip akuntabiliti, ketelusan dan berasaskan merit,” katanya.

Pada masa ini, peguam negara dilantik atau ditamatkan perkhidmatannya oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri. – 9 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen