Bajet 2018 bukti kesihatan rakyat diutamakan, kata menteri


Menteri Kesihatan Dr S.Subramaniam berkata peningkatan peruntukan bagi Kementerian Kesihatan dalam Bajet 2018 jelas membuktikan kerajaan memberi keutamaan bagi keperluan penjagaan kesihatan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2017.

PENINGKATAN peruntukan bagi Kementerian Kesihatan dalam Bajet 2018 jelas membuktikan kerajaan memberi keutamaan bagi keperluan penjagaan kesihatan rakyat, kata Menteri Kesihatan Dr S Subramaniam.

Kementerian Kesihatan mendapat peruntukan RM27 bilion pada tahun depan, iaitu kira-kira 9.5% atau 1.7 bilion peningkatan daripada Bajet 2017, berjumlah RM26.58 bilion.

“Kami telah mencadangkan kepada perdana menteri bajet yang teguh bagi penjagaan kesihatan, dan saya gembira dengan pengumuman ini kerana ia akan membantu inisiatif transformasi kesihatan kita yang berterusan selain menyediakan asas yang kukuh untuk perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Perdana menteri ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat pada Jumaat, antara lain mengumumkan sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan bagi bekalan ubat-ubatan dan RM1.6 bilion untuk barangan “consumable” dan sokongan perubatan.

Sebanyak RM1.4 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf dan menyelenggara fasiliti kesihatan di tiga hospital iaitu Hospital Muar, Banting dan Balik Pulau.

Perdana menteri berkata RM10 juta bagi menampung kos perubatan untuk rawatan “rare diseases” yang kian meningkat dan RM30 juta disediakan bagi program Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) ke arah kesedaran mengenai kesan penyakit tidak berjangkit di 10,000 kawasan seluruh negara.

“Kospen ialah program kesihatan awam dengan 40,000 sukarelawan terlatih di negara ini…kami akan memperkasakan mereka, jadi kita boleh memerangi NCD,” kata Dr Subramaniam.

Menteri kesihatan juga memuji usaha kerajaan memperuntukkan RM30 juta untuk meningkatkan perkhidmatan bidang pelancongan kesihatan termasuk mempromosikan Malaysia sebagai Hab Rawatan Kesuburan, termasuk perkhidmatan IVF dan kardiologi. – Bernama, 29 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen