Najib tak setuju ahli Parlimen isytihar harta


Mohd Farhan Darwis

Najib Razak menyifatkan keputusan kerajaan mewajibkan anggota Parlimen mengisytiharkan aset tidak adil kerana ada di antara mereka yang mempunyai pendapatan daripada kerjaya profesional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Hussain, 3 Julai, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak membantah langkah kerajaan mewajibkan anggota Parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada umum dan menyifatkannya sebagai tidak adil.

Ini memandangkan, ada di antara mereka mempunyai pendapatan daripada kerjaya profesional dan bukan bersumberkan daripada elaun sebagai ahli Parlimen semata-mata.

“Kalau kita isytihar harta daripada punca pendapatan bukan sumber ahli Parlimen, misalnya kalau kita seorang peguam, atau arkitek, kita ada punca daripada sumber lain.

“Jadi kalau sumber lain itu masuk dalam satu akaun kemudian isytihar sebagai aset, tidak adil. Beliau perlu (isytihar) punca pendapatan sebagai ahli Parlimen,” katanya, ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu juga bersetuju dengan kebimbangan perisytiharan harta itu akan memberikan risiko keselamatan kepada mereka.

“Macam-macam boleh berlaku, dari segi keselamatan dan sebagainya,” katanya.

Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan usul sebulat suara supaya semua ahli Parlimen, daripada kerajaan dan pembangkang wajib mengisytiharkan harta mereka, isteri, dan anak-anak kepada speaker Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bersedia mengisytiharkan harta mereka, kerana berpegang teguh pada prinsip membasmi rasuah.

Namun, PAS kecewa kerana usul itu tidak membawa ruang lingkup lebih besar, seperti menggubal akta khusus untuk tujuan itu. – 3 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen